Oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Nazmi Textile Mall cawangan Serusop, semalam, diserbu orang ramai yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan potongan harga istimewa yang ditawarkan sempena Jualan Larut Malam di kedai berkenaan.
Kesemua fabrik dijual pada separuh harga membuatkan para pelanggan berpusu-pusu berkunjung ke kedai tekstil tersebut bagi mendapatkan keperluan persiapan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Selain potongan diskaun, pihak pengurusan Nazmi juga tidak ketinggalan untuk beramal dan menyampaikan penghargaan kepada siapa sahaja yang berkunjung pada malam itu dengan memberikan baucar makan sahur percuma.


Baucar telah diagih-agihkan sendiri oleh pemilik Syarikat Nazmi Tekstil Mall, Ahmed Nazeer.
Para pelanggan diberi peluang untuk bersahur di Restoran Fayze Jaya Cafe yang terletak bersebelahan dengan kedai tekstil tersebut.
Sebilangan pelanggan memberitahu, mereka mengambil peluang tersebut untuk mendapatkan fabrik yang berkualiti pada separuh harga memandangkan terdapat beberapa buah kedai jahit yang masih mahu menerima tempahan menjahit pakaian menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.