Oleh Faridah Haji Ibrahim
BANDAR SERI BEGAWAN – Sempena Aidilfitri ini, Radio Televisyen Brunei (RTB) telah menyediakan rancangan-rancangan yang menarik untuk tontonan hiburan anda di dalam kemeriahan suasana menyambut Hari Raya.
Di antara rancangan yang menarik pada Hari Raya adalah sebuah drama berjudul Orang Sebelah.
Drama Orang Sebelah ini adalah sebuah drama yang berkonsepkan ‘light hearted’ komedi yang dipercayai akan dapat menarik minat penonton untuk menontonnya kerana telatah para pelakonnya dan gaya serta aksi selamba atau ‘natural’ yang ditampilkan.
Pada dasarnya, ia juga menampilkan konsep seperti drama popular bahasa Inggeris, ‘Desperate Housewife’ yang mempunyai pencerita (narrator).Pencerita ini akan menjadi penyambung dari satu adegan ke adegan yang lain.
Walaupun kita sudah hidup dengan arus kemodenan, Drama ini tidak lupa menunjukkan saki baki amalan tradisi dan budaya saperti bersikap bergotong royong dan bekerjasama di dalam masyarakat majmuk. Ceritanya bermula dalam menampilkan suasana beberapa hari sebelum puasa, malam Raya dan Hari Raya itu sendiri.
Rozy atau nama sebenarnya Ros Mariah Thamby @ Rosmah Thambi baru pulang ke Brunei bersama suaminya ,Jefri Sulaiman yang bertugas di London selama 15 tahun. Mereka pulang ke tanahair kerana tempoh kerja Jefri telah pun tamat.
Wanita bernama Rozy itu tampil dengan imej gaya barat (ala Anita Sarawak) dan telah mengambil keputusan untuk membeli rumah bersebelahan dengan Zaleha dan Zahir.
Zaleha agak kurang senang hati melihat gaya dan gelagat Rozy itu yang mana pertuturan dan gayanya terlalu mengikut gaya ‘mat salih’’. Dia menganggap Rozy cuba menunjuk-nunjuk. Zahir pula berpendapat Rozy itu bukan menunjuk-nunjuk, tapi terbiasa dengan cara dan gayanya yang telah lama menetap di London dan dibawa-bawa ketika berhijrah ke Brunei.
Setiap perilaku Rozy diperhatikan oleh Zaleha yang berasa mual dan kurang senang hati. Zaleha semakin tidak berpuas hati apabila kumpulan ‘wanita’ yang selama ini diketuainya telah berpaling arah ke Rozy yang banyak membuat perubahan yang ketara. Saperti mengajar dan mengajak wanita-wanita tersebut bersembang sambil minum petang yang dipanggil ‘hi-tea’.
Rozy akan mengajar wanita-wanita dalam kumpulan tersebut cara berdandan dan bergaya untuk memikat suami masing-masing. Malah Rozy juga mengajar wanita-wanita itu supaya mempunyai sikap positif dan sentiasa berkeyakinan.

Zaleha semakin kurang senang dengan kehadiran Rozy kerana wanita-wanita itu sudah tidak menghiraukan kata-katanya dan kurang memberikan perhatian kepadanya. Dengan pertolongan rakan karibnya, Juli. Zaleha cuba menghalang ‘pengaruh’ Rozy keatas wanita-wanita sejirannya itu.
Jiran-jiran mula percaya dan suka dengan kehadiran Rozy yang selalu ceria dan bersikap positif. Pengaruh Rozy agak kuat dan ini amat ketara terlihat pada jiran-jiran itu. Gaya pemakaian mereka juga turut berubah.
Apa yang mereka lihat dan sangka adalah Rozy umpama trend setter. Rupanya berselindung di sebalik kepura-puraan. Rozy berkelakuan sedemikian agar dia dapat membina keyakinannya tinggal di tempat baru. Tembelangnya pecah.
Jiran-jiran mula menyampah dengan sikap Rozy sehingga membuatkan wanita itu menyesal dengan perbuatannya.
Setibanya Aidilfitri, Zaleha telah mengadakan pertemuan di antara jiran-jirannya termasuk Rozy. Beliau akhirnya berjaya menjernihkan persahabatan mereka berjiran.
Penerbit dan pengarah drama ini adalah Hajah Jauyah binti Haji Chuchu serta turut dibantu oleh Penolong Penerbitnya, Hasri Bahar.
Manakala barisan pelakonnya pula terdiri dari Pengiran Anak Hajah Mas Sofiana Pengiran Anak Haji Hashim sebagai Rozy, Amal Nur Aiman Haji Mohd Kaseh sebagai Zaleha, Hajah Halimah Haji Suhaili sebagai Asnah,Faridah Haji Ibrahim sebagai Faredah, Mohd Syukri Mahari sebagai Zahir, Mohd Taufek Ilyas sebagai Jefri, Hajah Norhawayati Haji Saifurizal sebagai Juli dan Nooraderaizah Haji Tuah sebagai Haidah.
Drama Orang Sebelah akan disiarkan di saluran RTB ANEKA pada Hari Raya ke-11 pada jam 5:00 petang.