KUALA LUMPUR – Setiap kali menjelang Aidilfitri, orang ramai khususnya pengusaha pernia-gaan kuih raya pasti sibuk membakar kuih raya yang ditempah daripada pelbagai organisasi dan orang perseorangan bagi melengkapkan persiapan menyambut hari lebaran.
Namun berbeza bagi seorang jurutera, Farrah Wahida Saari, 27, yang sibuk membakar tanah liat jenis polimer untuk menghasilkan produk kraftangan berupa cenderahati yang ditempah oleh pelanggannya melalui dalam talian.
“Saban tahun tiap kali nak sambut raya kita tahu orang akan sibuk membakar kuih raya di dapur, tetapi saya sibuk membakar tanah liat untuk jadikan cenderahati seperti patung hiasan kek, bingkai gambar, anting-anting dan tag nama,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya di sini.
Pembuatan produk kraftangan yang unik itu mendapati hampir sama seperti menyiapkan kuih raya, namun hanya berbeza pada reka bentuk, warna dan juga dohnya.
Sebagaimana pengusaha kuih raya, hasil kerja tangan Farrah Wahida yang diberi nama Craftykats.clay turut dihujani dengan tempahan yang melimpah ruah sehinggakan tidak menang tangan untuk menyiapkannya seorang diri.
“Namun saya tidak menerima terlalu banyak tempahan di bulan Ramadan ini berbanding pada bulan-bulan lain sebab risau tak dapat penuhi kehendak pelanggan kerana saya hanya membuatnya selepas waktu bekerja dan pada hujung minggu.
Menariknya sempena Aidilfitri ini, ada beberapa orang pelanggan menempah bingkai gambar keluarga yang lengkap dengan baju raya sedondon dan sesetengah mereka menjadikan produk yang dianggap ‘jarang ditemui ‘ ini sebagai hadiah kepada saudara mara dan rakan-rakan,” katanya yang berpuas hati produknya menjadi tarikan di musim perayaan.

Anak kelahiran Langkawi, Kedah yang menanam minat mendalam dalam seni kraf sejak berusia lapan tahun tidak pernah menyangka hobinya itu membantu menjana pendapatan sampingan sejak melanjutkan pengajiannya di universiti pada 2011.
Beliau berkata sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai adalah pembakar semangatnya untuk mengangkat pembuatan kraf yang comel dan berwarna-warni itu dengan menghasilkan produk yang pelbagai jenis dan berkualiti.
“Pelangganlah yang menjadi batu loncatan kepada saya untuk lebih inovatif dan kreatif menghasilkan reka bentuk terbaru, saya berpeluang buat benda baru apabila ada yang minta mengikut idea mereka semasa membuat tempahan,” katanya yang mementingkan kualiti bahan asas produk itu dengan membeli polimer dari luar negara.
Meskipun tiada asas pada mulanya, Farrah Wahida rasa beruntung kerana dapat mempelajarinya dengan seorang perintis seni kraf itu dan kegigihannya mempelajari sendiri teknik-teknik baharu dan akhirnya menguasai kemahiran itu.
Berikutan industri seni kraf itu belum dikenali secara meluas, jurutera struktur syarikat swasta di ibu kota ini menanam hasrat untuk meneruskan dan mengembangkan perniagaan itu secara sepenuh masa di samping berkongsi kemahiran itu dengan pelapis baharu. – Bernama