Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, pelakon kelahiran Singapura, Datin Atikah Suhaime berkongsi ucapan serta pengalaman ketika memulakan kerjaya di Malaysia.
Melihat daripada perspektif seorang wanita, Atikah atau Nur Atikah Suhaime, 34, meluahkan rasa kagum terhadap kebanyakan golongan itu yang mula bekerja pada usia muda.
Malah hal itu secara tidak langsung mengajar dirinya untuk tidak terus berasa selesa.
“Sudah lebih 10 tahun saya ulang-alik Malaysia. Tinggal di sini mengajar saya untuk keluar dari zon selesa iaitu tinggal bersama ibu bapa sampai kahwin.
“Saya kagum melihat ramai wanita umur 17 tahun di sini sudah pandai berdikari, keluar dari kampung mencari kerja,” katanya.

Atikah menulis perkara tersebut dalam satu hantaran di Instagram miliknya hari ini.
Pelakon itu turut memuat naik gambar memakai baju kurung sambil memegang Jalur Gemilang.
Dalam masa sama, Atikah turut berkongsi masakan Malaysia yang semakin menjadi kegemarannya.
“Malaysia sangat menyenangkan dengan pelbagai makanan lazat, sekarang nasi kerabu dan budu jadi kegemaran saya. Orang Singapura selera Kelantan.
“Tak sanga kahwin dengan orang Malaysia dan anak warganegara Malaysia,” ujarnya menurut mStar.
Untuk rekod, Atikah berkahwin dengan usahawan Datuk Lokman Teh pada Januari 2024.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan pada 8 Mac lalu yang diberi nama Lyla Mulan Teh. – Agensi

