MOSCOW – Dengan suhu di luar berada di paras bawah beku, kira-kira 30 orang yang tidak mempunyai tempat tinggal berkumpul di sekeliling set televisyen di salah satu tempat perlindungan khas di Moscow, jauh dari pusat bandar.
Memakai topeng perubatan untuk mengurangkan risiko penyakit berjangkit, seorang pekerja menyimpan nota ketibaan baharu di pusat yang beroperasi 24 jam di Lyublino, sebuah subbandar tenggara ibu negara Rusia yang luas. Di bahagian belakang bilik pendaftaran, seorang wanita yang tiada tempat tinggal berada di kerusi rodanya terlihat menangis bersendirian.
“Ini adalah pusat model untuk Rusia,” kata Sergei Timoshenkov, pengarah pusat itu, yang mempunyai 1,000 katil dan kira-kira 500 pekerja.
Pusat perlindungan Lyublino menawarkan tempat tinggal bagi mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal di bandar itu, tempat untuk mencuci, makan dan menukar pakaian mereka, juga sebagai penasihat undang-undang dan bantuan psikologi.
Mereka yang datang ke sini hendaklah tidak mabuk namun peraturan tersebut digantung pada musim sejuk, apabila seseorang itu terdedah di jalanan pada waktu malam, bermakna boleh membawa kematian.



Sepanjang 10 tahun yang lalu, pusat itu telah menjadi barisan hadapan bagi usaha bandar raya itu untuk menangani masalah mereka yang tiada tempat tinggal. Semasa era Soviet, warga yang tiada tempat tinggal telah didakwa di bawah undang-undang antimengemis.
Jumlah mereka melambung naik pada tahun 1990an dengan keruntuhan ekonomi, disusuli dengan kejatuhan Kesatuan Soviet.
Kini terdapat enam tempat perlindungan seperti – Lyublino dan lima lainnya yang lebih kecil – di ibu negara itu, dan NGO yang bekerja di lapangan telah memuji kemajuan Moscow mengenai isu tersebut.
Tetapi ada yang mengkritik mengenai dasar yang mengalihkan kumpulan itu masih menghadapi stigma sosial yang berlarutan dari pusat bandar itu, memandangkan Moscow terus menerima pembangunan yang dipacu oleh Piala Dunia pada tahun lalu.
“Dasar yang ada pada masa ini adalah untuk meletakkan orang yang tidak mempunyai tempat tinggal ini jauh dari pandangan,” kata Darya Baibakova, dari NGO Nochlezhka, yang bekerja dan membantu mereka yang tidak mempunyai kediaman tetap.
Beliau percaya bahawa Moscow perlu mempunyai kemudahan tersebut di setiap daerah, bukannya di “kawasan perindustrian pedalaman.”
Dan dia menggariskan impak yang berpanjangan daripada “tahun-tahun stigmatisasi” bagi orang-orang yang tiada tempat tinggal.
Pada bulan Oktober, Nochlezhka terpaksa menggugurkan rancangannya untuk membuka kedai dobi bagi orang-orang yang tidak mempunyai tempat tinggal berhampiran dengan pusat bandar raya itu, yang mana menghadapi tekanan daripada para penduduk setempat.
“Sesetengah penduduk tempatan mengancam untuk memukul kakitangan kami, hendak membakar kedai dobi tersebut, malah ada juga yang ingin membunuh orang-orang yang tidak mempunyai tempat tinggal ini,” kata Baibakova.
Walau bagaimanapun, pusat Lyublino dan dasar Moscow yang lebih meluas telah mampu mengatasi masalah itu. Pada tahun 2003, seramai 1,200 penduduk yang tiada tempat tinggal di Moscow maut akibat kesejukan. Pada musim sejuk 2017-2018, angka kematian adalah 11 orang.
Yury, yang mempunyai lapan jari dan kedua-dua kakinya telah dipotong akibat fros, telah menghabiskan malamnya di pusat perlindungan itu bersama dengan teman wanitanya.
Dia berasal dari bandar timur Ukraine, Donetsk, kini berada di tengah-tengah konflik antara pemberontak Kiev dan pemberontak yang disokong Rusia.
Yury berkata dia telah kehilangan pasportnya di Rusia dan tidak boleh memohon untuk yang baharu, bermakna dia tidak mempunyai akses bagi skim perumahan bandar raya itu. Apa yang boleh dia lakukan adalah tempat perlindungan kecemasan.
“Kami perlu pergi tidak lama lagi,” katanya, tanpa menjelaskan di mana pasangan itu akan pergi selepas Moscow.
Sebanyak 30 kenderaan meronda-ronda di jalan di sana untuk membawa mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal dan membawa mereka ke pusat itu, iaitu kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar.
“Memandangkan kami memulakan rondaan, bilangan mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal telah menurun secara drastik kerana kami telah mula menjaga mereka dan memindahkan mereka,” kata Irakli Kakabadze, anggota pasukan peronda tersebut.
Kadang-kadang, pasukan berkenaan akan mengaturkan untuk kembali semula ke kampung halaman mereka, di tempat lain di Rusia.
Sukar untuk menentukan angka sebenar bagi bilangan mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal di Moscow, tetapi dewan bandar itu menganggarkan jumlahnya adalah 14,000 daripada 12 juta penduduk di ibu negara.
Bas peronda Kakabadze akan melakukan tugasnya di sekitar dataran yang mana kebanyakan orang yang tiada tempat tinggal itu berkumpul, berhampiran tiga stesen kereta api utama.
Sehingga tahun lepas, sebuah khemah yang besar telah dibina di sana di mana orang yang memerlukannya dapat tidur, tanpa dibawa keluar dari bandar itu.
“Piala Dunia datang dan mereka segera menyingkirkannya,” kata Ivan, 63, seorang lelaki yang tidak mempunyai tempat tinggal yang tinggal di Moscow selama 15 tahun.
Beliau berkata, beliau memahami bagaimana ‘bau’ dan lokasi khemah itu yang mana boleh menjejaskan penduduk tempatan dan juga pengunjung. Khemah tersebut kini telah dipindahkan ke Lyublino secara kekal.
Natalya Naidyon, yang telah bekerja dalam rondaan itu sejak konsepnya pada tahun 2009, berpendapat bahawa khemah itu sebenarnya berfungsi lebih baik di luar bandar.
“Ianya lebih baik dan mudah di mana semua perkhidmatan berada di satu tempat,” katanya kepada AFP.
Pengarah pusat Timoshenkov mempertahankan lokasi Lyublino sebagai dapat melayani pengangangkutan awam dan “jauh dari kawasan perumahan untuk mengelakkan kesulitan”.
Eva Bertrand, pengarah NGO Rusia, Samu Social Moskva, menunjukkan sejauh mana usaha yang telah dikecapi oleh negara itu.
“Di Rusia, masalah penduduk tiada tempat tinggal adalah yang paling baharu, yang mana telah diselesaikan dengan cara menindas di USSR,” katanya kepada AFP.
“Kita boleh menjadi kritikal tetapi kita harus menyedari bahawa Moscow telah membangunkan alat dan ada perdebatan tentang ini.” – AFP