Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 17 Jan – Untuk meningkatkan lagi kesungguhan dan ketekunan, penuntut-penuntut Tahun 5 hingga 11, Sekolah St James hari ini, telah mengadakan acara orientasi semula yang lebih menekankan kepada kesedaran dalam pembelajaran, peperiksaan, motivasi, disiplin dan sikap positif.
Pengetua sekolah tersebut, Haji Muhd Masa Masdi bin Mohd Sai’dun memberitahu, aktiviti tersebut diadakan antara lain untuk memberikan tindakan positif bagi nilai teras LIGHTERS (Kepimpinan, Inisiatif, Penghargaan,Kejujuran, Kerja Berpasukan, Cemerlang, Menghormati, Jati Diri) sekolah tersebut.
Semasa aktiviti tersebut, beliau menerangkannya dengan memberikan contoh kehidupan semasa bagi memberikan kefahaman yang mendalam kepada kalangan penuntut.
Sementara itu, Komiti Disiplin dalam taklimat mereka pula menekankan kesan terlibat dengan berbagai-bagai jenis buli dan aktiviti salah lainnya di sekolah termasuk melibatkan diri dalam penyalahgunaan dadah.
Sebagai tambahan, para penuntut juga diingatkan tentang keperluan peperiksaan dan menyeru mereka untuk sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dan tekun dalam mengulang kaji pembelajaran untuk mencapai keputusan yang cemerlang.
Aktiviti sehari itu, turut dimuatkan dengan tayangan video berkenaan cara pembelajaran yang positif dan juga sesi menulis ikrar di atas kain rentang memaparkan kesungguhan dan ketekunan belajar sebagai motivasi diri supaya tekad tidak akan pernah mengalah untuk mencapai kejayaan cita-cita masing-masing.