Monday, June 24, 2024
22.1 C
Brunei

    -

    Origami angsa Mohd Zain tarik perhatian

    MALAYSIA – Mohd Zain Dollah mungkin sudah lama melepasi usia persaraan dan hidup dengan kecacatan, tetapi beliau tidak membiarkan umur dan kekurangannya menghalangnya daripada membuat origami untuk menghasilkan pendapatan.

    Warga emas berusia 73 tahun itu, yang berasal dari Kampung Bukit Kechik, berkata beliau mampu menghasilkan 10 origami berbentuk angsa dalam sehari – walaupun dilahirkan dalam keadaan fizikal yang kurang upaya.

    “Saya telah membuat origami sejak 10 tahun yang lalu setelah diajar oleh salah seorang anak saya, Nur Fatehah, yang kini tinggal di Perak,” katanya.

    Menurut beliau, walaupun hobi itu sukar diceburi kerana memerlukan banyak fokus dan memakan masa, beliau berjaya menguasainya dengan bersungguh-sungguh dan menjadikannya sebagai perniagaan.

    “Jika saya tidak silap, saya hanya mengambil masa sehari untuk mempelajari seni ini, dan kemudian saya terus mencuba pelbagai jenis origami, seperti membuat bakul, bekas telur dan cenderahati seperti pasu bunga,” kata Mohd Zain yang setinggi 1.2 meter, menurut laporan Bernama.

    Mohd Zain memperagakan origaminya di rumahnya di Tanah Merah, Kelantan. – Bernama

    Beliau menambah bahawa bekas telur origami berbentuk angsa sangat popular untuk majlis perkahwinan dan akan diberikan kepada tetamu.

    Bagi pasu bunga pula, ia biasanya ditempah oleh individu sebagai cenderahati atau oleh agensi kerajaan sebagai hiasan untuk diletakkan di pejabat.

    “Setiap origami berbentuk angsa memerlukan sebanyak empat helai kertas A4, yang akan dipotong kepada kepingan kecil menggunakan pisau kecil, kemudian dilipat dan dilekatkan bersama.

    “Saya menjual hiasan berbentuk angsa ini dengan harga RM2 setiap satu, dan jika pesanan melebihi 100, harganya akan lebih murah,” kata Mohd Zain, yang juga menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

    Beliau berkata untuk bakul yang lebih besar, beliau mengenakan bayaran sehingga RM50 kerana setiap bakul memerlukan lebih banyak helai kertas dan gam, serta memakan lebih banyak masa.

    Beliau kini sedang menyiapkan pesanan untuk perkahwinan yang akan datang bagi seorang pelanggan dari Perak.

    Mohd Zain, seorang duda dengan lapan anak, berkata sebelum menceburi bidang kraf tangan, beliau merupakan pengacara majlis perkahwinan. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China, Perancis lancar satelit pantau letupan sinar gamma

    CHINA, 23 JUN – Satelit Perancis-China telah dilancarkan kelmarin di mana ia merupakan misi untuk mencari letupan cahaya terbesar di dunia dalam usaha kerjasama...