BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Origin Artistic bakal menghasilkan filem ketiganya berjudul Akademi yang dijadualkan akan ditayangkan pada tahun depan.
Perkara ini diumumkan oleh Penerbit Akademi, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hajah Nurul Amal Munjiatul Athirah pada sidang media di Mahakarya, Plaza Athirah, Jalan Kubah Makam Diraja, Batu Satu, hari ini.
Yang Amat Mulia menjelaskan, filem aksi komedi itu menceritakan mengenai persahabatan dan kesetiaan yang diinspirasikan daripada kehidupan sehari-hari masyarakat di negara ini yang bersangkutan dengan kerjaya dan kehidupan pengawal keselamatan.
Pengarah tempatan yang tidak asing lagi dalam dunia perfileman tanah air selaku Pengarah Akademi, Dayang Siti Kamaluddin pula menjelaskan bahawa lebih 50 orang kru dilibatkan sepanjang proses penggambaran filem berkenaan yang secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan selain memberikan peluang kepada mereka mempelajari mengenai dunia perfileman.
Filem tersebut menampilkan barisan pelakon berbakat tempatan sepenuhnya daripada pelakon utama sehinggalah pelakon pendukung dan pelakon tambahan dalam usaha Origin Artistic menyerlahkan lagi bakat para pelakon tempatan serta memberi mereka peluang untuk melebarkan sayap sehingga dapat dikenali bukan sahaja di peringkat dalam negara tetapi sehingga ke peringkat lebih tinggi lagi dan
antarabangsa.
Antara pelakon yang bakal menyerikan filem berkenaan ialah Liyana Yus, Nadiah Wahid, Nasrul Nassar, Zainal Bostan, Syafi Halim, Ian Zulkifli, Shafiee Mostar dan Pengiran Hajah Maskuin binti Pengiran Haji Mohd yang sememangnya merupakan pelakon yang sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat tempatan.
Penggambaran yang dijadualkan bermula pada hujung bulan ini dijangka siap dalam tempoh satu bulan.

