Thursday, March 20, 2025
23.6 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Osaka kempunan pingat emas Olimpik Tokyo

TOKYO, 27 JULAI – Sensasi Jepun, Naomi Osaka mengalami kekalahan 1-6, 4-6 di tangan Marketa Vondrousova pada pusingan ketiga Olimpik Tokyo sekali gus meranapkan impiannya untuk memenangi pingat emas di halaman sendiri.

Osaka yang dipilih untuk menyalakan kawah Olimpik ketika majlis pembukaan rasmi, kelihatan bergelut ketika beraksi di gelanggang dan terlepas peluang besar setelah tersingkirnya pemain nombor satu dunia, Ashleigh Barty dan pilihan ketiga Aryna Sabalenka.

“Betapa kecewanya saya? Maksud saya, saya sangat kecewa dalam setiap kekalahan, tetapi saya rasa ini lebih teruk daripada yang lain,” kata pemenang empat kali Grand Slam. Ditanya apa kesilapan yang dilakukannya, dia menjawab “Semuanya, jika anda menonton perlawanan maka anda mungkin akan melihatnya. Saya rasa ada banyak perkara yang saya harapkan yang tidak dapat saya gunakan hari ini.”

Kekalahan pusingan ketiga menyusul beberapa bulan yang tidak menentu untuk Osaka, yang meninggalkan kempen Terbuka Perancisnya pada bulan Mei setelah enggan menghadiri sidang media, dengan alasan perlu menjaga kesihatan mentalnya.

Osaka juga menarik diri daripada kejohanan Wimbledon, mengatakan bahawa dia telah berdepan kemurungan dan kegelisahan, sebelum kembali ke Tokyo untuk Olimpik pertamanya, termasuk peranannya dalam upacara pembukaan.

Tetapi akhirnya harapan tinggi yang diletak pada atlet wanita itu dengan bayaran tertinggi di dunia terbukti sukar dikotakan.

“Saya pasti merasa ada banyak tekanan untuk acara ini. Saya rasa mungkin kerana saya tidak pernah bermain di Olimpik sebelum ini dan untuk tahun pertama ia sedikit sukar,” kata Osaka.

Setelah nampak yakin dalam dua pusingan pertama setelah ketinggalan selama lapan minggu, Osaka membuat permulaan yang teruk di bawah bumbung gelanggang tengah di Gelanggang Tenis Ariake yang dilanda hujan dan gagal bangkit semula. Vondrousova yang berada di ranking ke-42 akan menentang pemain Sepanyol, Paula Badosa pada suku akhir.

“Saya sudah lama berehat dan bermain dengan baik,” kata Osaka. “Saya tidak mengatakan bahawa saya melakukan yang teruk sekarang, tetapi saya tahu bahawa harapan saya jauh lebih tinggi,” katanya. – AFP

Aksi Naomi Osaka dari Jepun semasa pertandingan tenis pusingan ketiga perseorangan Sukan Olimpik Tokyo semalam. – AP
- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda