Saturday, April 26, 2025
31.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Osaka larang warga emas guna telefon di ATM

    TOKYO, 25 APRIL – Bandar Osaka bakal menguatkuasakan larangan baharu terhadap warga emas daripada menggunakan telefon bimbit semasa menggunakan mesin pengeluaran automatik (ATM), dalam usaha membanteras penipuan kewangan yang semakin meningkat di Jepun.

    Larangan yang berkuat kuasa bermula Ogos itu menyasarkan individu berumur 65 tahun ke atas, yang sering menjadi mangsa utama sindiket penipuan yang menyamar sebagai ahli keluarga, pihak polis atau peguam untuk memperdaya mereka mengeluarkan atau memindahkan wang tunai.

    Tahun lalu sahaja, kerugian akibat penipuan yang dirancang oleh kumpulan jenayah terancang termasuk yakuza mencecah 72.2 bilion yen (kira-kira AS$500 juta).

    Pegawai wilayah Osaka, Ryo Hamaoka menjelaskan bahawa larangan itu adalah langkah pencegahan yang bersifat mendidik dan bukan menghukum. Tiada denda akan dikenakan ke atas individu atau institusi yang tidak mematuhi arahan itu.

    “Memandangkan warga emas merupakan mangsa penipuan dan pengendali ATM termasuk bank adalah rakan dalam usaha pencegahan ini, adalah tidak sesuai untuk menghukum mereka,” katanya kepada AFP hari ini.

    Gambar Freepik

    Larangan itu dikatakan yang pertama seumpamanya di Jepun dan mewajibkan pengendali ATM untuk memaklumkan larangan tersebut kepada pengguna melalui poster atau risalah yang diedarkan di premis masing-masing.

    Pihak berkuasa juga menyarankan agar perniagaan dan institusi kewangan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu mengesan sama ada seseorang pelanggan sedang bercakap di telefon ketika menggunakan ATM, seterusnya mengaktifkan langkah pencegahan awal.

    Antara bentuk penipuan terancang yang sering digunakan termasuk taktik ‘ini saya’ – di mana penipu menyamar sebagai ahli keluarga yang kononnya dalam kesusahan dan memerlukan bantuan kewangan segera. Selain itu, warga emas juga sering dipujuk untuk menggunakan ATM bagi mendapatkan bayaran balik berkaitan insurans palsu atau pencen mereka.

    Menurut polis, Osaka mencatatkan jumlah kes penipuan kedua tertinggi di negara itu selepas Tokyo. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda