AUCKLAND, 3 JAN – Bekas pemain nombor satu dunia, Naomi Osaka, mara ke separuh akhir pertamanya sejak 2022 selepas bersaing di Auckland Classic, hari ini.
Juara Grand Slam empat kali itu menewaskan pemain bukan pilihan dari Amerika Syarikat, Hailey Baptiste 6-7 (2/7), 6-1, 6-2 dalam satu lagi peningkatan keyakinan menjelang Terbuka Australia di Melbourne.
Osaka berkata kerja kerasnya mula membuahkan hasil selepas menempah tempat ke empat akhir acara WTA buat kali pertama sejak Terbuka Miami pada April 2022.
“Saya melakukan banyak usaha sepanjang tahun lalu dan walaupun keputusan tidak menunjukkan hasilnya, saya akan terus mencuba sedaya upaya untuk melihat setakat mana kemampuan saya,” kata Osaka yang menduduki ranking ke-57 itu.
“Tumpuan utama sekali lagi hari ini adalah untuk memperolehi kepercayaan yang tinggi dan keyakinan pada diri saya sendiri,” tambahnya.
Seperti dua perlawanan pertamanya di Auckland, pemain berusia 27 tahun itu kekurangan rentak pada set pembukaan.
Dia berusaha sedaya upaya melakukan pukulan servis yang bertenaga dalam dua set seterusnya, berakhir dengan sembilan ace untuk memberikannya 21 bagi kejohanan itu. – AFP