AUCKLAND, 30 DIS – Juara Grand Slam empat kali, Naomi Osaka, melakar kemenangan straight-set pada permulaan musimnya hari ini ketika dia berusaha untuk mengembalikan semula prestasi yang telah membantunya menjadi pemain nombor satu dunia.
Bintang Jepun itu bergelut dengan konsistensi sejak kembali ke gelanggang setahun lalu selepas kelahiran anak perempuannya, Shai, pada Julai 2023.
Dia kini menduduki tempat ke-57 dan menegaskan kelmarin bahawa semangat untuk menang masih membara dan dia yakin dapat mengembalikan semula kejayaannya dahulu.
Osaka kini berada di bawah jurulatih lama Serena Williams, Patrick Mouratoglou, di mana pemain berusia 27 tahun itu mempamerkan aksi mantap di Auckland Classic untuk mengatasi pemain Israel, Lina Glushko, di ranking ke-221, 6-4, 6-4.
Bagaimanapun, dia terpaksa berusaha lebih gigih ketika bersaing menentang Glushko.
Osaka menyempurnakan satu-satunya mata penamat yang dimilikinya dalam set pertama untuk mendahului 3-1 pada set kedua.
Namun Glushko berjaya bangkit untuk memperoleh mata berturut-turut sebelum Osaka kembali merampas tiga perlawanan seterusnya yang mengambil masa selama 85 minit.
Dia seterusnya akan berdepan sama ada pemain kelayakan Sepanyol, Leyre Romero Gormaz atau Julia Grabher dari Austria dalam pusingan seterusnya. – AFP