NEW YORK, 2 SEPT – Naomi Osaka mencatat kemenangan penuh meyakinkan pada Terbuka AS dengan menewaskan pemain pilihan tuan rumah Coco Gauff pada pusingan 16 terakhir kelmarin, manakala Jannik Sinner dan Iga Swiatek mara ke suku akhir.
Bintang Jepun itu menewaskan pilihan ketiga Gauff 6-3, 6-2 dalam pertembungan pusingan keempat bekas juara Terbuka AS yang dinanti-nantikan ramai, tetapi berakhir dengan keputusan yang berat sebelah pada cuti Hari Buruh di New York.
“Ini adalah permukaan gelanggang kegemaran saya di dunia dan ia amat bermakna bagi saya untuk kembali hari ini,” kata Osaka, yang kelihatan bersedia untuk mencuba meraih Grand Slam kelima.
“Ini agak luar biasa pada tahap karier saya sekarang,” tegas Osaka. “Saya hanya menikmatinya. Saya berseronok.”
Pemain berusia 27 tahun itu, juara Terbuka AS dua kali, sedang mengharungi penampilan paling baik pada kejohanan utama sejak memenangi gelaran kedua Terbuka Australia pada 2021.
Perjalanan kembali ke puncak permainan tidak mudah buat Osaka, selepas dia kembali ke tenis tahun lalu selepas melahirkan anak perempuan pada 2023.
Osaka akan berdepan pilihan ke-11 dari Czech, Karolina Muchova pada suku akhir esok.
Muchova menewaskan pilihan ke-27 dari Ukraine, Marta Kostyuk 6-3, 6-7 (0/7), 6-3 dan kini berusaha mara ke separuh akhir ketiga berturut-turut di Flushing Meadows.
Sementara itu, penyandang juara lelaki Sinner menewaskan Alexander Bublik dengan keputusan 6-1, 6-1, 6-1 dalam hanya 81 minit pada sesi malam.
Bublik, satu-satunya pemain yang menewaskan Sinner musim ini selain Carlos Alcaraz, tidak pernah kehilangan servis sepanjang kejohanan tetapi ditewaskan lapan kali oleh pemain nombor satu dunia itu. – AFP


