Selasa, Julai 29, 2025
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Osaka tamat kerjasama bersama Mouratoglou

    MONTREAL, 29 JULAI – Naomi Osaka dari Jepun, juara Grand Slam perseorangan sebanyak empat kali, akan bekerjasama dengan jurulatih dari Poland, Tomasz Wiktorowski, secara percubaan selepas berpisah dengan Patrick Mouratoglou kurang daripada setahun selepas mereka mula bekerjasama.

    Osaka mengumumkan perpisahan dengan Mouratoglou, bekas jurulatih bintang tenis Serena Williams, di media sosial pada Isnin sebelum menewaskan pemain kelayakan dari Kanada, Ariana Arseneault, 6-4, 6-2 dalam masa 76 minit pada pusingan pertama Kejohanan Terbuka Kanada WTA di Montreal.

    Osaka, yang kini berada di ranking ke-49 dunia, mula berlatih di Kanada bersama Wiktorowski, yang pernah membimbing Agnieszka Radwanska dari Poland antara 2011 hingga 2018 dan membantu Radwanska mara ke final Wimbledon serta mencapai ranking nombor dua dunia pada Julai 2012.

    Wiktorowski juga pernah melatih Iga Swiatek dari hujung 2021 hingga Oktober tahun lalu – tempoh di mana Swiatek memenangi empat daripada enam kejuaraan Grand Slam perseorangan miliknya – sebelum menambah satu lagi kejuaraan di Wimbledon awal bulan ini.

    Osaka, yang kini mencatatkan rekod 11-1 menentang pemain yang berada di luar kelompok 100 terbaik dunia, akan menentang pilihan ke-13, Liudmila Samsonova, pada pusingan kedua. Mereka telah bertemu empat kali sebelum ini dengan keputusan seri, namun Osaka menang dalam dua pertemuan di gelanggang keras.

    Bekas pemain nombor satu dunia berusia 27 tahun itu mula bekerja dengan Mouratoglou pada September lalu.

    Naomi Osaka melakukan pukulan ke arah Ariana Arseneault dari Kanada dalam perlawanan pusingan pertama di Kejohanan Tenis National Bank Open di Montreal, pada 28 Julai. – AFP

    “Merci Patrick, ia satu pengalaman yang hebat belajar daripada awda,” tulis Osaka di media sosial. “Semoga yang terbaik untuk anda. Anda antara individu paling ‘cool’ yang pernah saya jumpa dan saya pasti kita akan bertemu lagi.”

    Mouratoglou pula menulis di Instagram bahawa beliau “berterima kasih atas kepercayaan, perjalanan dan apa yang telah kami bina bersama,” dan menyatakan kepada Osaka bahawa dia “akan sentiasa menyokong anda.”

    Di bawah bimbingan Mouratoglou, Osaka mara ke final kejohanan di Auckland pada Januari namun menarik diri selepas set pertama akibat kecederaan abdomen. Beliau juga memenangi dua perlawanan di Terbuka Australia sebelum sekali lagi menarik diri pada perlawanan ketiga akibat kecederaan yang sama.

    Osaka memenangi kejuaraan WTA pertamanya sejak Terbuka Australia 2021 pada bulan Mei lalu di kejohanan L’Open 35 de Saint Malo, namun tersingkir di pusingan pertama Terbuka Perancis dan pusingan ketiga Wimbledon. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda