Osaka tarik diri dari kejohanan Indian Wells

LOS ANGELES, 23 SEPT – Juara Grand Slam empat kali Naomi Osaka telah menarik diri daripada kejohanan ATP/WTA Indian Wells yang bakal dianjurkan pada bulan depan di California, menurut penganjur kelmarin.

Pemain bintang Jepun berusia 23 tahun itu adalah bekas juara di Indian Wells, yang memenangi gelaran pada tahun 2018 menentang Daria Kasatkina.

Osaka menyatakan bahawa dia bercadang untuk berhenti seketika daripada tenis setelah menghadapi kekalahan dalam perlawanan terbuka AS.

“Secara terus-terang, saya tidak tahu bila saya akan bermain dalam perlawanan tenis seterusnya,” kata Osaka setelah tewas kepada pemain Kanada, Leylah Fernandez pada pusingan ketiga.

“Saya rasa saya akan berhenti daripada bermain buat sementara waktu.”

Osaka, jatuh daripada kedudukan lima tangga teratas dalam ranking dunia terbaharu, telah menjadi tumpuan ramai pada tahun ini setelah menarik diri daripada kejohanan Terbuka Perancis serta perlawanan Wimbledon atas sebab masalah kesihatan mental.

Osaka berkata bahawa masalahnya bertambah buruk dengan bercakap kepada media selepas perlawanan. Osaka juga tewas di Cincinnati pada bulan lepas, dan tersingkir daripada pertandingan Olimpik di Tokyo pada bulan Julai. – AFP

Aksi Naomi Osaka membaling raketnya semasa perlawanan menentang Leylah Fernandez pada pusingan ketiga kejohanan tenis Terbuka AS di New York baru-baru ini. – AP