BRISBANE, 1 JAN – Bekas pemain nombor satu dunia dan ibu baharu, Naomi Osaka, berkata hari ini dia berasa bangga kerana memenangi perlawanan pertamanya setelah kembali dari rehat panjang dan mengakui dia berasa ‘sangat gementar.’
Pemain berusia 26 tahun itu berada di gelanggang di Brisbane International selama sejam dan 47 minit sebelum menewaskan Tamara Korpatsch dari Jerman 6-3, 7-6 (11/9) di Arena Pat Rafter.
“Saya sangat gementar, tetapi saya teruja untuk berada di luar sana,” kata Osaka, juara Grand Slam empat kali yang meninggalkan tenis pada September 2022, memetik masalah kesihatan mental.
“Saya fikir lebih baik mempunyai perlawanan yang lebih sukar lebih awal kerana ia akan melatih saya untuk menghadapi apa yang akan datang.
“Mengimbas kembali perlawanan sekarang, sejujurnya saya sangat bangga dengan diri sendiri. Saya rasa bermain pada tahap yang cukup bagus.”

Selepas melahirkan seorang anak perempuan pada bulan Julai, Osaka teringin kembali bermain sukan kegemarannya itu dan memutuskan untuk pulang beraksi pada musim 2024.
Ia kelihatan seperti dia tidak pernah meninggalkan sukan tersebut apabila dia mematah servis Korpatsch dalam pusingan pembukaan, kemudian mematah servis kali kedua untuk memenangi set pertama dengan agak selesa.
Tetapi ia adalah kisah berbeza pada set kedua apabila Korpatsch bangkit dan Osaka mula merasakan tekanan.
Korpatsch mematahkan servis Osaka untuk memulakan set kedua dan walaupun bintang Jepun itu berjaya mengatasinya, dia tidak berasa tenang dengan pemain Jerman yang gigih mempertahankan permainan.
Osaka memulakan servis sekali lagi untuk perlawanan itu dengan kedudukan 5-4, tetapi terlepas dan perlawanan berakhir pada penamat seri, di mana kedua-dua pemain mempunyai peluang masing-masing.
Osaka mensia-siakan dua mata dan Korpatsch dua mata penamat sebelum Osaka merebut peluang ketiganya dengan pukulan depan yang kuat di garisan. – AFP