JEDDAH, 21 APRIL – Pemandu McLaren, Oscar Piastri telah menunjukkan dia berdaya mempertahankan kejuaraan Formula 1 apabila memenangi Grand Prix Arab Saudi kelmarin.
Buat pertama kali musim ini, penalti memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan perlumbaan apabila Piastri menduduki tempat teratas dengan kemenangannya.
Dua kemenangan awal Piastri musim ini adalah pemanduan dominan dari petak pertama. Kali ini dia terpaksa melepasi juara empat kali Max Verstappen.
Verstappen bermula di petak pertama tetapi terkeluar dari trek semasa bertarung dengan Piastri di selekoh pertama. Dia kekal di depan tetapi dihukum penalti lima saat. Piastri berhujah dia telah sampai di hadapan Verstappen di bahagian dalam sudut dan berhak mendapat tempat itu.
Sementara Charles Leclerc berada di tempat ketiga untuk Ferrari dan rakan sepasukan McLaren, Lando Norris, menduduki tempat keempat. Norris telah bermula di tempat ke-10 berikutan kemalangan dalam kelayakan.
Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut bagi Piastri, yang meraih kemenangan di Bahrain minggu lalu dan mempunyai tiga kemenangan daripada lima perlumbaan tahun ini. Dia hanya menang dua kali sebelum musim ini.
Piastri kini mendahului dengan 10 mata di depan Norris, dengan Verstappen dua mata di belakang di tempat ketiga.
Dia menjadi warga Australia pertama yang mendahului kedudukan F1 sejak Mark Webber, yang kini pengurus Piastri, pada 2010 sebagai pemandu Red Bull. Tiada warga Australia yang memenangi gelaran itu sejak Alan Jones pada 1980.
Piastri berkata penalti itulah yang memberikannya kemenangan. Dia menghadapi masalah untuk bersaing dengan Verstappen sebelum berhenti di pit tanpa merosakkan tayarnya.
Ditanya mengenai insiden selepas perlumbaan, Verstappen sebaliknya memuji peminat dan trek dan berkata “selebihnya adalah apa yang telah berlaku.” – AP
