Pelakon Amerika Syarikat, Zoe Saldana memenangi Anugerah Oscar pertama dalam kariernya bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Saldana, 46, berjaya merangkul trofi itu menerusi lakonannya dalam filem Emilia Perez yang diterbitkan oleh Netflix, dengan membawa watak Rita Mora Castro iaitu seorang peguam.
Saldana menewaskan beberapa bintang terkenal termasuk Ariana Grande, Felicity Jones, Monica Barbaro dan Isabella Rossellini.
Pelakon itu melaungkan “mummy” dan berterima kasih kepada keluarganya dengan berkata, “Segala keberanian, kegilaan dan kebaikan dalam hidup saya adalah kerana anda.”
Dalam ucapan itu, Saldana turut mengucapkan terima kasih kepada pengarah filem, Jacques Audiard, yang berasal dari Perancis kerana keberaniannya menceritakan kisah-kisah wanita seperti di dalam filem itu.
Saldana juga mengakui bahawa anugerah itu adalah milik seluruh pelakon filem terbabit.
Selain itu, Saldana mengimbas kembali perjalanan keluarganya, dengan berkata, “Nenek saya datang ke negara ini pada 1961. Saya adalah anak yang bangga dengan status ibu bapa imigran yang mempunyai impian dan maruah.”
Pelakon itu turut menyatakan bahawa neneknya pasti akan sangat gembira jika melihat dirinya memenangi anugerah ini, apatah lagi kerana beliau dapat menyanyi dan berbahasa Sepanyol dalam filem terbabit.
“Ini untuk nenek saya,” kata Saldana dengan penuh emosi. – Bernama
