BEIJING, 5 MEI – China menyeru Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) agar berperanan lebih positif dan membina dalam memelihara keamanan serta kestabilan di Eropah, demi merealisasikan keselamatan kerjasama, keselamatan bersama dan keselamatan mampan di Eropah.
Naib wakil tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Geng Shuang berkata demikian dalam ucapannya di sesi Majlis Keselamatan PBB mengenai taklimat kerja pengerusi bergilir OSCE.
Beliau meminta OSCE agar memanfaatkan mekanisme sedia ada, mempergiat usaha untuk menggalakkan rundingan damai dan pengantaraan, mengambil kira kepentingan dan kebimbangan pelbagai pihak secara seimbang, dan menggalakkan negara anggotanya meninggalkan mentaliti Perang Dingin dan politik ekstrem.
Beliau juga menyatakan bahawa masyarakat antarabangsa harus menggalakkan rundingan damai, dan membantu semua pihak yang terlibat dalam konflik berlapang dada agar penyelesaian krisis melalui politik dapat dilaksanakan secepat mungkin.
“Anggota OSCE harus membina kesalingpercayaan dan menyelesaikan pertikaian melalui rundingan dan dialog damai.
“Usaha untuk mencapai keselamatan adalah melalui kerjasama, dan bukan konfrontasi,” kata Geng.
Dalam ucapan itu, beliau turut menyentuh mengenai isu Ukraine dan mengulangi pendirian China berhubung isu berkenaan. – Bernama


