Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    OSCo anjur majlis keagamaan

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 6 APRIL – Dalam membantu menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang mulia di samping menyambut ulang tahunnya yang ketiga, Jawatankuasa Keselamatan Oiltown (OSCo) telah menganjurkan Majlis Tahlil, Doa Selamat dan Sungkai bersama 44 orang anak yatim di Daerah Belait, kelmarin.

    Diadakan di Dewan Serba Guna, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah (JBC), Kuala Belait, majlis berkenaan menyaksikan kehadiran Penghulu Mukim Kuala Belait, Haji Abdul Afiq bin Zainuddin selaku tetamu kehormat.

    Selain bacaan Tahlil dan Doa Selamat, majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan terdiri daripada barangan keperluan dan wang tunai daripada pelbagai kumpulan dan pertubuhan kepada anak-anak yatim, yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

    Antara kumpulan dan pertubuhan yang menghulurkan sumbangan untuk mengurangkan beban anak-anak yatim dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri akan datang termasuklah OSCo sendiri, Mad Riders MG, Naughty Skull MG, Wings Motor Gang Society, Hell’s Cowboy Brunei, Koleksi Azra Brunei, dan Armstrong Gym.

    Pengerusi OSCo, Syarqawi Sunarto ketika ditemui menjelaskan bahawa kumpulan itu juga telah menjalankan aktiviti amal yang sama sejak beberapa bulan lalu dalam memberi balik kepada masyarakat.

    Antaranya termasuklah kempen kebersihan yang diadakan di Padang Futsal Teres Pandan 8 dengan penyerahan sijil penghargaan kepada peserta disempurnakan oleh tetamu kehormat.

    Susulan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim, majlis diikuti dengan berbuka puasa bersama-sama.

    Salah seorang anak yatim yang menerima sumbangan daripada tetamu kehormat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda