JOHANNESBURG, 16 NOV – Penjaring prolifik Nigeria, Victor Osimhen, mungkin menjadi tonggak utama apabila mereka menentang Republik Demokratik Congo hari ini dalam perebutan kelayakan Piala Dunia 2026 di Rabat.
Pemenang perlawanan akhir play-off Afrika itu mara ke kejohanan antara benua enam negara di Mexico pada bulan Mac yang melibatkan setiap rantau bola sepak kecuali Eropah.
Tetapi pasukan yang kalah akan tersingkir daripada pertandingan untuk menjadi antara 48 buah negara yang mengambil bahagian dalam perlawanan global yang dihoskan oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Nigeria dan Republik Demokratik Congo adalah antara empat negara yang diberi peluang kedua untuk layak selepas menjadi naib juara terbaik daripada sembilan kumpulan Afrika.
Dalam separuh akhir Khamis lalu, penyerang Galatasaray, Osimhen, menjaringkan dua gol dalam masa tambahan ketika Nigeria menewaskan Gabon 4-1 manakala Chancel Mbemba menjaringkan gol pada minit akhir perlawanan bagi kemenangan Republik Demokratik Congo 1-0 ke atas Cameroon.
Osimhen, Pemain Terbaik Afrika 2023, meledak hatrik bulan lalu dalam kemenangan 4-0 ke atas Benin yang membolehkan Nigeria mara ke play-off.
Pemain berusia 26 tahun itu, yang terus memakai topeng pelindung selepas mengalami kecederaan muka yang serius empat tahun lalu, sentiasa menjadi ancaman ketika menentang Gabon dan mampu menjaringkan enam gol. – AFP

