Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Osimhen sertai Galatasaray sebagai pinjaman

    ISTANBUL, 5 SEPT – Penyerang Napoli, Victor Osimhen telah bersetuju untuk menyertai Galatasaray sebagai pinjaman selama satu musim tanpa pilihan untuk pembelian, juara Turkiye dan kelab Itali itu mengesahkan kelmarin.

    Penyerang Nigeria berusia 25 tahun itu, yang disambut oleh ratusan penyokong ketika tiba di Lapangan Terbang Istanbul awal minggu ini, akan menerima gaji sebanyak enam juta euro (AS$6.6 juta) kata kelab Turkiye itu.

    Napoli mengesahkan pinjaman tersebut sehingga 30 Jun 2025, sambil menambah bahawa mereka telah mencapai persetujuan dengan Osimhen bagi potensi lanjutan kontraknya sehingga Jun 2027.

    Osimhen sebelum ini telah menyatakan keinginan untuk meninggalkan Napoli selepas kelab tersebut dilanda krisis sejurus selepas mereka menjuarai liga buat kali ketiga pada 2023.

    Pasukan yang dibantunya menjulang Serie A dengan 26 gol liga mengejutkan ramai apabila tidak menyenaraikannya dalam skuad musim ini, dengan tempatnya serta jersi nombor sembilan diambil oleh pemain baharu, Romelu Lukaku.

    Napoli mengalami perubahan tiga jurulatih musim lalu dan hanya menduduki tempat ke-10 Serie A, namun Osimhen masih berjaya menjaringkan 17 gol dalam 32 penampilan dalam semua kejohanan.

    Napoli dijangka menjual Osimhen pada musim panas ini selepas memasukkan klausa pelepasan bernilai 130 juta euro (AS$144.3 juta) apabila memperbaharui kontraknya pada Disember lalu.

    Namun, tidak ada kelab seperti Chelsea, Paris Saint-Germain, mahupun Al-Alhi dari Liga Pro Saudi yang mampu memenuhi penilaian Napoli dan permintaan gaji Osimhen.

    Sementara itu, Napoli sedang membina pasukan untuk jurulatih baharu, Antonio Conte, dengan membawa masuk tujuh pemain bagi memperbaharui skuad mereka. – AFP

    Victor Osimhen meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol semasa perlawanan bola sepak UEFA antara Napoli dan Barcelona pada 21 Februari lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda