Friday, November 15, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Oslo pulangkan artifak Pulau Easter, Rapa Nui

    OSLO, 14 NOV – Artifak dan sisa manusia yang diambil oleh peneroka serta ahli antropologi Norway pada akhir 1940an akan dikembalikan oleh sebuah muzium di Oslo kepada Pulau Easter, wilayah terpencil Chile di Lautan Pasifik, menurut Muzium Kon-Tiki, kelmarin.

    Pada tahun 1947, peneroka Thor Heyerdahl menaiki rakit kayu bernama Kon-Tiki dari Peru ke Polinesia dalam masa 101 hari bagi membuktikan teorinya bahawa Kepulauan Laut Selatan didiami oleh pelayar dari Amerika Selatan. Dia membawa pulang 5,600 objek dari Pulau Easter, juga dikenali sebagai Rapa Nui. Ini merupakan kali ketiga objek yang dibawanya dikembalikan.

    Sebahagian besar artifak itu disimpan dan dipamerkan di Muzium Kon-Tiki di Oslo, ibu kota Norway dan sebahagiannya telah dikembalikan pada tahun 1986 serta 2006. Usaha pengembalian kali ini melibatkan kerjasama antara muzium, kerajaan Chile dan pihak berkuasa tempatan, Rapa Nui.

    “Datuk saya pasti bangga dengan pencapaian ini,” kata Ketua Muzium dan cucu peneroka tersebut, Liv Heyerdahl. Beliau memberitahu agensi berita Norway, NTB, bahawa artifak itu dibawa ke Norway dengan janji untuk suatu hari nanti dikembalikan.

    Antara yang dikembalikan kali ini termasuk sisa manusia yang dikenali sebagai Ivi Tepuna dan batu berukir. Sembilan delegasi telah ke Norway minggu ini untuk mengambil barangan tersebut, dengan empat daripada mereka bermalam di muzium di Oslo bersama sisa manusia itu sebagai sebahagian daripada upacara ritual bagi membawa kembali semangatnya. – AP

    Heyerdahl (kanan) bersama ahli politik Chile dari Rapa Nui, Laura Tarita Rapu Alarcon, menghadiri acara pengembalian artifak dan sisa rangka manusia, di Muzium Kon Tiki di Oslo, Norway,baru-baru ini. – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda