BRISBANE, 4 JAN – Jelena Ostapenko dari Latvia menewaskan juara bertahan Czech, Karolina Pliskova 6-4, 4-6, 6-3, hari ini, untuk menempah slot suku akhir menentang Victoria Azarenka di kejohanan Antarabangsa Brisbane.
Bekas juara Terbuka Perancis berusia 26 tahun itu memerlukan bantuan daripada jurulatih semasa set ketiga ketika dia bergelut dengan cuaca panas dan kelembapan.
Namun dia berjaya mengatasi cabaran yang dihadapi untuk menewaskan Pliskova dalam masa 2 jam 13 minit.
“Ia sangat lembap dan pada satu ketika saya kehilangan tenaga,” kata pemain pilihan ketiga, Ostapenko.
“Saya datang dari cuaca musim sejuk di bawah negatif 15 darjah Celsius sekarang dan di sini adalah 35 darjah.
“Ia agak berbeza – ia dirasai oleh semua orang tetapi saya memerlukan sedikit masa untuk membiasakannya.”
Dia seterusnya akan berdepan bekas pemain nombor satu dunia, Azarenka, yang berjaya mengatasi cabaran hebat daripada pemain Perancis, Clara Burel.
Azarenka bermula cemerlang dan mendahului 4-1 pada set pertama sebelum Burel bangkit dan mula mendominasi.
Namun Azarenka kembali bangkit untuk memenangi set pertama dan set kedua seterusnya untuk menempah kemenangan 7-5, 6-2. – AFP
