Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    O’Sullivan sedia beraksi di Piala Dunia Wanita

    SYDNEY, 19 JULAI – Pemain tengah berpengalaman, Denise O’Sullivan, sihat untuk beraksi bersama pasukan Ireland dalam perlawanan pembukaan di Piala Dunia Wanita menentang tuan rumah Australia esok selepas mengalami kecederaan dalam perlawanan persahabatan yang dibatalkan dengan Colombia.

    O’Sullivan telah dibawa ke hospital minggu lalu selepas diterjah dengan kasar dalam perlawanan persediaan tertutup menentang pasukan Amerika Selatan tersebut yang terpaksa dihentikan selepas 23 minit kerana para pemain Ireland ‘bimbang dengan keselamatan fizikal mereka.’

    Masalah timbul apabila pemain berpengalaman yang telah beraksi sebanyak 102 kali itu mengalami patah tulang kaki yang boleh menjejaskan penyertaannya dalam kejohanan tersebut.

    Namun, jurulatih Vera Pauw menyatakan semalam bahawa O’Sullivan telah pulih dengan luar biasa dan siap untuk beraksi di hadapan lebih kurang 80,000 penyokong di Stadium Australia, Sydney pada pembukaan Piala Dunia itu.

    “Kami bersikap terbuka, kami tidak ada perkara untuk disembunyikan. Denise sihat, dia akan bermain,” kata Pauw, dan beliau menambah pemain berusia 29 tahun itu telah kembali menjalani latihan penuh secara fizikal.

    Walaupun bimbang mengenai fizikal Colombia, kapten Katie McCabe berkata mereka juga boleh memberikan respons yang sesuai dan bersedia untuk menghadapi layanan serupa daripada pasukan Australia yang dipimpin oleh pemain bintang, Sam Kerr, salah satu pilihan juara Piala Dunia.

    “Kami tahu Colombia akan bermain secara fizikal tetapi situasi ini akan berlaku dalam setiap perlawanan,” kata pemain Arsenal yang berpengalaman itu.

    Ini adalah kali pertama Ireland menyertai Piala Dunia dan Pauw mengakui Australia yang lebih berpengalaman mungkin memberi kesan kepada perlawanan itu. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda