TAMPA, 29 Jun – Robot kecerdasan buatan berbentuk bola yang terapung-apung dan dilatih khas untuk mengikut seorang angkasawan Jerman di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dijadualkan dilancarkan hari ini bagi misi kali pertama itu.
Peranti bersaiz bola keranjang itu yang dipanggil CIMON – yang dipendekkan dari Crew Interactive Mobile CompanioN – disifatkan sebagai ‘otak terbang’ oleh Manfred Jaumann, ketua muatan mikrograviti di Airbus.
Ia dilancarkan dari Cape Canaveral, Florida hari ini pada pukul 5:42 pagi berserta dengan kira-kira 5,900 pound peralatan yang dibawa dalam kapsul kargo Dragon SpaceX yang tidak dikendali.
Pengaktifan CIMON akan menandakan ‘detik bersejarah’ yang menjadi robot pertama seumpamanya untuk berinteraksi dengan orang ramai di angkasa lepas, menurut Christian Karrasch, pengurus projek CIMON di Pusat Aeroangkasa lepas Jerman (DLR) ketika taklimat media NASA semalam.
Projek yang diusahakan dua tahun lalu, CIMON telah dilatih untuk mengenali suara dan muka Alexander Gerst, 42, seorang geofizik Agensi Angkasa Lepas Eropah.

Apabila Gerst memanggil CIMON, robot terapung secara akustik mengetahui dari mana Gerst memanggilnya dengan menyesuaikan dirinya sebegitu dan terus meluncur.
Berlegar-legar pada ketinggian paras mata angkasawan, kamera depannya boleh mengesan jika orang yang dihadapannya adalah yang sebenarnya Gerst, atau orang lain.
CIMON akan dijana oleh lebih sedozen kipas untuk membantunya bergerak sekitar dan mengelak melanggar benda lain di dalam modul makmal angkasa lepas Columbus.
“Ini direka untuk bekerja dalam bahasa Inggeris. Ia memahami Alexander,” kata Bret Greenstein, timbalan presiden sejagat Watson Internet of Things Offerings, IBM.
“Ia dapat menolong untuk melatihnya mengenalinya supaya ia akan datang kepadanya apabila dia bercakap.”
Kesemua enam anggota krew di pangkalan luar yang orbit boleh bercakap kepada CIMON, meskipun ia telah diajar untuk bekerja dengan Gerst. – AFP