Ottawa, Air Canada capai perjanjian bantuan

MONTREAL, 13 APRIL – Kerajaan Kanada dan Air Canada mengumumkan hari ini bahawa mereka telah mencapai kesepakatan dalam rancangan bantuan kewangan berbentuk pinjaman untuk membantu syarikat penerbangan terbesar di negara itu pulih akibat kesan wabak koronavirus.

Perjanjian itu membolehkan Air Canada mendapat akses bantuan kepada kira-kira AS$5.9 bilion (AS$4.7 bilion).

“Kami telah mencapai perjanjian yang signifikan dan bersejarah dengan Air Canada,” kata menteri pengangkutan Kanada, Omar Alghabra pada sidang media.

Untuk mendapatkan keuntungan daripada bantuan kewangan tersebut, Air Canada telah bersetuju untuk mematuhi beberapa syarat, terutama membayar balik tiket penumpang yang telah dibatalkan oleh syarikat penerbangan kerana wabak tersebut.

Syarikat penerbangan itu juga telah bersetuju untuk memulakan semula laluan wilayah dan sekatan pampasan eksekutif.

Air Canada, yang ketika ini menggajikan kira-kira 15,000 orang, telah berjanji untuk tidak mengurangkan tenaga kerja selepas terpaksa memberhentikan lebih daripada 20,000 pekerja sejak awal wabak itu.

Timbalan perdana menteri Chrystia Freeland memuji ‘kesepakatan yang baik dan adil,’ dengan mengatakan bahawa syarikat penerbangan adalah sektor strategik yang menghasilkan pekerjaan untuk kelas menengah negara itu.

Sejak bermulanya wabak COVID-19, syarikat penerbangan Kanada telah menerima bantuan persekutuan lebih AS$2 bilion, yang membolehkan mereka menggaji ribuan orang, kata Alghabra.

Kerajaan akan meneruskan perbincangan dengan syarikat penerbangan lain termasuk WestJet, syarikat penerbangan kedua terbesar di negara itu, tambah Freeland. – AFP

Kerajaan Kanada dan Air Canada telah mencapai kesepakatan untuk membenarkan syarikat penerbangan terbesar di negara itu memiliki akses bantuan kira-kira AS$5.9 bilion. – AFP