Oleh Nurdiyanah R.
Memberi tumpuan kepada aspek keperibadian masyarakat dan budaya setiap negara ASEAN melalui pendekatan antarabangsa secara penciptaan inovatif bersama golongan industri, kerajaan dan ahli akademik serta komuniti global, merupakan antara tujuan yang ingin digapai menerusi Program Sijil Antarabangsa Universiti Osaka – Halal Science, Technology and Innovation (OUICP-HaSTI)
Sehubungan itu, seramai 28 orang peserta dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB) bersama beberapa orang ahli profesional telah berjaya menamatkan program OUICP-HaSTI selama 10 bulan dengan majlis graduasi yang berlangsung secara maya pada 18 Oktober lalu.
OUICP-HaSTI ialah sebuah program pendidikan di bawah inisiatif Osaka University (OU) ASEAN Campus dengan kerjasama rakan sejawatan mereka di negara-negara ASEAN.
Program merangkumi kuliah dalam talian dan sesi penempatan di OU selama dua bulan itu telah mengetengahkan para peserta dengan kursus-kursus yang berkaitan dengan sains halal; matlamat pembangunan mampan (SDG); teknologi lanjutan untuk halalan-thayyiban; dan inovasi produk dan perkhidmatan untuk halalan-thayyiban.
Manakala program diakhiri dengan menetapkan para peserta untuk mengikuti sesi pengajian praktikal di luar negara secara bersemuka selama lapan minggu. Di bawah program ini, para pelajar yang terlibat turut mengikuti tunjuk ajar daripada ahli akademik dari empat universiti penganjur iaitu OU, UBD, UNISSA, dan UTB serta dua orang pensyarah jemputan dari Chiba University of Economics dan NPO-Japan Halal Association.
Selain itu, mereka turut berpeluang mengikuti sesi penempatan di luar negara khususnya di OU dengan bekerja rapat bersama para profesor yang mempunyai pengalaman kerja makmal menggunakan kemudahan terkini dan lawatan industri secara lapangan.
Menurut salah seorang peserta Sarjana Sains (Secara Penyelidikan) dalam Bioteknologi, UBD, Dayang Anis Nadiah binti Abdillah mengungkapkan OUICP-HaSTI sebagai kunci membuka ruang terbaik kepada perkembangan mereka meliputi dari segi akademik mahupun secara peribadi.
“Melalui program ini, kami dapat melatih dan bekerja secara kolaboratif di makmal OU. Kami belajar untuk mengatasi halangan bahasa, membina rangkaian, dan juga mengembangkan kemahiran dengan daya ketangkasan untuk menyesuaikan diri kepada perubahan.
“Satu peluang keemasan juga, kami dapat menerokai keindahan Kansai dan menikmati pengalaman festival kebudayaan musim panas,” ujarnya.
Sementara itu, Dayang Nurul Afiqah binti Haji Yahya selaku peserta program Sarjana Sains Halal, UNISSA turut menyatakan tidak dapat dinafikan OUICP-HaSTI telah memberi impak yang besar kepada kehidupan mereka dalam pelbagai aspek sehingga mampu menjadikan para peserta lebih berdikari, yakin, tabah, berdisiplin dan memiliki keazaman untuk masa depan.
“Alhamdulillah, OUICP-HaSTI telah membuka mata dan minda kami untuk merenung arus sistem dalam industri halal Brunei,” tambahnya.
Seorang peserta yang menerima Terrific Reaction Paper Special Awards Recipient dari UNISSA, Awang Muhammad Nur Hisyam Zufri meluahkan kesyukuran atas anugerah berkenaan yang begitu bermakna bagi dirinya kerana pastinya mampu meningkatkan lagi keyakinan diri dan memotivasikan keupayaan beliau untuk terus menulis menghasilkan lebih banyak kertas penyelidikan.
Dalam pada itu, seorang peserta dalam jurusan Sarjana Sains (Secara Kerja Kursus) dalam Pengurusan dan Teknologi, UTB, Dayangku Nur Radhiah binti Pengiran Haji Abdul Rahman, turut berkongsi OUICP-HaSTI telah mengajar mereka khususnya warga UTB untuk berpandangan lebih jauh di mana ia telah membantu sebaik mungkin golongan yang bukan berlatarbelakangkan bidang sains atau halal.
“Pendedahan program ini, terutamanya semasa mengikuti Practical Study Abroad di OU, Jepun, memberikan kami kefahaman sebenar tentang halal dan secara peribadi mendorong kami untuk sentiasa bersiap sedia pada masa depan dan berani membuat perubahan.
“Kebolehan baharu telah dicapai, terima kasih OU dan universiti-universiti tempatan yang lain kerana menawarkan program game-changing ini,” jelasnya lanjut.
Manakala wakil peserta ahli pekerja profesional, Chin Yee Ling turut tidak ketinggalan menyatakan antaranya bahawa peluang mengikuti program berkenaan begitu berharga di mana ia mampu mewujudkan pengalaman pembelajaran terbaik merangkumi pengetahuan bagaimana inovasi dan teknologi boleh menjadi penggerak di dunia hari ini.
“Kami dapat memerhatikan norma di Jepun yang mungkin sesuatu yang baharu bagi kami dan itulah jangkaan OU apabila mereka memperkenalkan program ini. Saya percaya segalanya terpulang kepada kita untuk memanfaatkan pengetahuan baharu itu demi sama-sama memperkayakan lagi industri kita agar mampu berdaya saing di peringkat global pada masa hadapan,” tambahnya.