Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JAN – Kampus ASEAN Universiti Osaka (Pejabat Brunei) telah meraikan 10 siswazah Program Sijil Antarabangsa Universiti Osaka (OUICP) 2023 dalam Majlis Graduasi OUICP 2023 yang berlangsung di Kampus Sinaut, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari ini.
Majlis tersebut adalah bagi pelajar-pelajar pascasiswazah dari tiga buah institusi tempatan iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB) yang telah menamatkan program khas selama sembilan bulan OUICP dalam bidang Bioteknologi, Sains Halal, Teknologi dan Inovasi yang dihoskan oleh Universiti Osaka, Jepun.
Majlis itu merupakan acara fizikal pertama dianjurkan oleh Kampus ASEAN Universiti Osaka (Pejabat Brunei) dengan kerjasama UNISSA.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil kepada siswazah ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.
Terdahulu, Dr Haji Azman dalam ucapan alu-aluannya antara lain manggariskan kerjasama berharga antara Universiti Osaka dengan institusi pengajian tinggi Brunei telah berkembang sejak lima tahun yang lalu.
“Ini bermula dengan pertukaran pelajar di bawah Japan Student Services Organisation (JASSO), lawatan timbal balik dan kini OUICP yang mana kerjasama ini telah berkembang dengan pesat,” jelasnya.
Katanya lagi, “OUICP sebagai program yang cemerlang dalam membangunkan sumber manusia yang dapat menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.”
Dengan pengalaman intensif selama setahun ini, jelasnya, termasuk kuliah mingguan yang memberikan pelajar pengetahuan asas, di samping lawatan ke Universiti Osaka, telah mendedahkan mereka kepada metodologi penyelidikan yang maju serta pengalaman berharga tinggal di luar negara.
Beliau seterusnya menambah, peluang tersebut juga telah membolehkan pelajar berinteraksi dengan profesor terkemuka di Osaka dan diiktiraf untuk melanjutkan pengajian. Dr Haji Azman turut dimaklumkan bahawa salah seorang pelajar telah berpeluang untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana sepenuh masa diikuti dengan PhD di bawah biasaiswa Jepun yang berprestij.
“Terbitan kertas penyelidikan oleh pensyarah UTB dan pelajar dengan kerjasama profesor terkenal dari Osaka dalam jurnal-jurnal terkemuka adalah sangat cemerlang,” jelasnya.
Beliau turut mengongsikan bahawa setakat ini, lebih 50 pasca siswazah dari tiga institusi pengajian tinggi telah menyertai OUICP dan tahun ini satu lagi pencapaian membanggakan diraikan dengan penubuhan Kampus Makmal Bersama ASEAN di antara UNISSA dan Universiti Osaka.
Pencapaian tersebut akan membolehkan kedua-dua pihak menjalankan penyelidikan di kemudahan masing-masing, memperkuatkan kajian bersama dan bertukar pandangan penyelidikan yang penting.
“Perkembangan seperti ini menyediakan platform yang sangat berharga untuk UNISSA, sebagai universiti muda dalam kedudukan dunia, untuk bekerjasama dengan Universiti Osaka iaitu sebuah institusi yang terkenal,” tambahnya.
Beliau berharap makmal bersama itu akan menyediakan ruang kerjasama untuk para saintis daripada pelbagai disiplin, yang dapat mendorong inovasi dan mempercepatkan pembangunan teknologi terkini, menghasilkan produk, perkhidmatan dan penyelesaian baharu.
Pada masa yang sama, jelasnya, makmal bersama itu boleh menjadi pusat bakat, memupuk persekitaran untuk kreativiti dan pertumbuhan intelektual yang seterusnya meningkatkan kelebihan kompetitifnya.
“Makmal bersama ini boleh bertindak sebagai enjin inovasi, pertumbuhan ekonomi dan kerjasama global, mendorong sesebuah negara menuju daya saing yang lebih tinggi di pelbagai bidang,” tambahnya.
Majlis diselajurkan dengan mengalu-alukan kemasukan seramai 10 pelajar siswazah bagi kohort 2024, dan majlis pelancaran Kampus Makmal Bersama ASEAN antara UNISSA dan Universiti Osaka di Pusat Makmal Saintifik Ibnu Sina, kampus berkenaan.
Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh tetamu kehormat dan seterusnya penandatanganan plak sambil disaksikan oleh Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Profesor Dr Kyoshi Fuji-ta, diikuti dengan sesi bergambar ramai dan lawatan ke makmal di pusat tersebut.
Turut hadir ialah Duta Besar Jepun yang dilantik ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka, pegawai-pegawai UBD dan UTB, pegawai-pegawai kanan agensi kerajaan dari Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan serta Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.