Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ounahi bersedia cipta kejutan

    DOHA, 13 DIS – Azzedine Ounahi telah menjadi nadi kepada kemaraan Maghribi sehingga ke peringkat separuh akhir, tanpa penat lelah menonjolkan penguasaannya di bahagian tengah dan muncul sebagai salah seorang pemain di luar jangkaan pada kejohanan kali ini.

    Aksi wira, Yassine Bounou yang menyelamatkan sepakan penalti telah menjadi tajuk utama akhbar-akhbar semasa perlawanan 16 terakhir, tetapi Ounahi berjaya mencuri tumpuan jurulatih Sepanyol, Luis Enrique selepas skuad kendaliannya tewas kepada Maghribi.

    “Saya sungguh terkejut dengan (Ounahi). Ya Tuhan, dari mana budak ini datang?” tanya Luis Enrique yang kagum dengan persembahan luar biasa pemain tengah itu.

    “Dia bermain seperti pemain Sepanyol. Dia bermain dengan bagus sekali. Saya betul-betul terkejut. Dia tidak berhenti berlari, dia pasti penat.”

    Pada Khamis, Ounahi akan berdepan Perancis, negara di mana dia menempa karier bersama kelabnya.

    Hanya 18 bulan yang lalu, Ounahi bertungkus-lumus di divisyen ketiga Perancis, susuk tubuhnya yang langsing telah melalui liga bola sepak divisyen bawah – batu loncatan yang penting dalam perjalanannya.

    Ounahi adalah salah satu daripada empat orang pemain dalam skuad Maghribi yang merupakan bekas pelajar Akademi Mohammed VI di Sale, fasiliti canggih yang ditubuhkan pada tahun 2009 dan dicipta untuk mengembangkan bakat-bakat muda dalam negara itu.

    Maghribi mempunyai pelaburan yang besar dalam infrastruktur bola sepak – selepas banyak kali gagal dalam bidaan untuk penganjuran Piala Dunia – namun akhirnya berbaloi, se-perti mana yang dipamerkan oleh Atlas Lions di Qatar.

    Kelab-kelab bola sepak Maghribi juga merupakan kuasa dominan dalam senario bola sepak Afrika pada masa ini – menang dalam Liga Juara-Juara lelaki dan wanita serta Piala Konfederasi.

    Tambahan lagi, Atlas Lionesses menjadi kelab Afrika Utara pertama yang melayakkan diri ke Piala Dunia Wanita selepas menjadi naib juara sebagai tuan rumah Piala Negara-Negara Afrika tahun ini.

    Kejayaan-kejayaan tersebut mencerminkan kemajuan yang dicapai oleh pemain berusia 22 tahun, Ounahi, sejak menyertai Strasbourg selepas meninggalkan tanah airnya pada tahun 2018. – AFP

    Aksi Ounahi (kiri), semasa bersaing dengan Pedri dalam perlawanan 16 terakhir Piala Dunia 2022 antara Maghribi dan Sepanyol di Stadium Kota Pendidikan, Ar-Rayyan, Qatar, baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda