Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Minggu Launtan Brunei (OWB) hari ini telah mencapai rekod kebangsaan dengan penanaman 210 karang dalam sehari untuk acara Big Blue Hope – Menanam Karang, Membina Terumbu sekali gus mencatat sejarah dalam Buku Rekod Brunei.
Seramai 79 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai pihak dan pencinta laut telah menyertai dalam misi penanaman karang di Pelong Rocks berkenaan.
Acara berkenaan turut melibatkan 31 orang penyelam mewakili penaja-penaja Bank Islam Brunei Darussalam dan pihak berkepentingan kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan kedutaan, termasuk Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber Utama dan Pelancongan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Marin, ABDB, Kedutaan Jepun dan Reef Check Brunei, yang bergabung tenaga dengan ahli komuniti penyelaman dan penganjur, Poni Divers untuk mencapai matlamat bersejarah berkenaan.
Selain itu, 22 penyelam snorkel dari Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Wawasan Brunei, Pejabat Perubahan Iklim Brunei, Anson International, Pengurusan Projek Imarah (PPI) dan orang ramai turut menyumbang kepada tujuan murni berkenaan, menunjukkan usaha kolektif yang diperlukan untuk memelihara persekitaran marin negara.
Turut menghadiri perasmian itu ialah Carla Bakos dari Reef Ball Foundation di Florida dan Pakar Biologi Marin, James Bali dari Sarawak Forestry Corporation.
Ketua Pegawai Eksekutif Poni Divers dan Pengasas Yayasan Poni, Awang Mohd Tahsin Wong Abdullah dalam ucapannya menekankan kepentingan Big Blue Hope, dengan menyatakan bahawa dengan mencapai kejayaan itu, mereka berhasrat untuk memupuk rasa pemilikan dan tanggungjawab dalam kalangan belia dan masyarakat terhadap kesihatan lautan.
Semasa acara itu, para peserta turut berpeluang mendengarkan taklimat ringkas mengenai ekologi karang, ancaman yang dihadapi oleh karang dan latihan penanaman karang secara langsung, serta diakhiri dengan penyampaian sijil daripada Buku Rekod Brunei bagi memperingati pencapaian yang memecahkan rekod itu.




