BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Bersempena dengan Minggu Lautan Brunei (OWB) 2025, orang ramai adalah dialu-alukan untuk menyertai The Ocean Hero Award, Ocean Youth Grant dan pertandingan video Ocean Voice.
Pencalonan bagi The Ocean Hero Award dibukakan sehingga 3 Ogos nanti.
Calon boleh terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk pemimpin komuniti atau pendidik, individu daripada NGO atau inisiatif akar umbi, usahawan atau inovator, wira sukan, jurulatih, tenaga pengajar, dan pemimpin daripada komuniti perikanan dan lautan.
Tiga finalis teratas akan diumumkan pada 8 Ogos dengan dengan video pendek mengenai tiga finalis tersebut akan diterbitkan untuk undian orang ramai melalui media sosial.
Undian orang ramai menyumbang 10 peratus daripada markah semasa penilaian.





Sementara itu Ocean Youth Grant dibukakan kepada individu atau pasukan yang terdiri daripada lima ahli berumur 35 tahun dan ke bawah.
Geran ini menyokong projek yang menangani cabaran utama lautan seperti pemulihan terumbu karang, pencemaran plastik, akuakultur lestari, pendidikan lautan, dan daya ketahanan iklim, antara lain. Penyertaan diperlukan untuk menyertakan pitch deck dan video pembentangan ringkas, dan mesti dihantar sebelum 5 Ogos dengan tiga finalis teratas akan diumumkan pada 9 Ogos.
Manakala, pertandingan video The Ocean Voice dibukakan untuk remaja berusia 12 hingga 21 tahun. Para peserta diminta untuk menghantar himpunan video berdurasi satu hingga dua minit dengan tema berkaitan lautan seperti tanggungjawab individu, penjagaan generasi dan kepentingan ekosistem marin.
Semua penyertaan mestilah dihantar sebelum 5 Ogos.
Pemenang bagi ketiga-tiga anugerah akan diraikan pada Malam Gala Lautan yang akan berlangsung pada malam 12 Ogos nanti.

