Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Minggu Lautan Brunei (OWB) yang julung kalinya diadakan dengan memberikan tumpuan signifikan melibatkan dan memperkasa belia negara dalam usaha pemuliharaan marin, dijangka berlangsung dari 31 Mei hingga 9 Jun nanti.
Menurut kenyataan yang diberikan, acara akan diisikan dengan forum advokasi belia, aktiviti hands-on seperti pembuatan bebola terumbu dan belajar menanam terumbu karang untuk belia, yang direka bagi memberikan inspirasi masa depan bagi ekonomi biru Brunei Darussalam.
Mengiktiraf peranan kritikal golongan muda dalam membentuk masa depan, OWB antara lain bertujuan untuk memupuk belia dengan lebih mendalam tentang isu-isu marin dan menggalakkan penyertaan proaktif dalam melindungi sumber laut negara yang tidak ternilai.
Ia akan disertai oleh belia untuk belajar bagaimana membuat bebola terumbu semasa kursus setengah hari di Reef Ball Fabricator pada 1 Jun dan seterusnya menyaksikan bebola terumbu ditempatkan di laut di samping bagaimana menanam terumbu karang semasa kursus pengenalan bebola terumbu pada 2 Jun.
Selain itu, para belia juga akan berpeluang untuk menyertai pengalaman praktikal di luar bilik darjah untuk pergi ke laut dan belajar bagaimana menanam terumbu karang serta snorkel di Pulau Pelong-Pelongan.



Para pelajar dari pelbagai sekolah dan universiti di seluruh Brunei juga akan berpeluang menyertai forum, aktiviti pemuliharaan marin, pembersihan pantai, persidangan video dan penstriman langsung serta forum Future Ocean Changemakers yang akan diadakan pada 3 Jun di Kolej Perdagangan Laksamana (LCB), rakan pendidikan untuk OWB.
Acara OWB adalah percuma dan ditaja oleh Bank Baiduri, Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Progresif, Tyne Solutions, Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) Sdn Bhd, Perumahan Armada dan Brunei LNG.
Ia dianjurkan oleh Poni Foundation dan Poni Divers dengan kerjasama Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan serta sokongan daripada Forum Asia Inc, Curious Mind, Pelancongan Brunei, dan Ball Reef Foundation.
Manakala, rakan kongsi media termasuk Borneo Bulletin, Media Permata, Kristal FM, RTB dan Biz Brunei dengan rakan kongsi persatuan penyelaman, RAID.

