Thursday, February 20, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Oyen kini jadi ‘penduduk tetap’

    KUALA LUMPUR – Inisiatif Zoo Negara meletakkan papan tanda ‘Oyen’ di hadapan kepungan tikus gergasi capybara Jun lalu diharap memudahkan pengunjung menemui kucing tular yang kini menjadi antara ‘bintang’ utama destinasi pelancongan itu.

    Naib Presidennya Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata sejak tular, kucing berbulu jingga yang digelar Oyen itu meraih populariti luar biasa susulan keunikannya ‘bersahabat’ dan sudah menjadi seakan-akan rakan sekandang tikus gergasi berkenaan sejak dua atau tiga tahun lepas.

    “Pemasangan papan tanda ‘& Oyen’ di bawah papan tanda ‘Capybara’ ini juga bertujuan sebagai makluman kepada pengunjung yang mungkin tidak mengetahui tentang Oyen yang pernah tular sehingga luar negara.

    “Jadi apabila lihat ada nama Oyen mereka akan tertanya-tanya dan mencari tentang keunikan persahabatan dua haiwan ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Persahabatan dua haiwan yang berlainan spesies itu menjadi tarikan baharu Zoo Negara selepas video memaparkan Oyen yang merupakan kucing buangan dan capybara, tular menerusi media sosial beberapa kali sejurus zoo itu dibuka semula pada September 2021.

    Gambar fail menunjukkan Oyen menikmati makanan bersama sekumpulan capybara di Zoo Negara pada April lalu. – Bernama

    Video menunjukkan Oyen tidur atau memeluk capybara merupakan antara yang tular kerana menggambarkan kedua-dua haiwan itu harmoni tinggal di ‘rumah’ yang sama, sekali gus menjadikan situasi itu unik dan jarang ditemui.

    Mengulas lanjut, Rosly berkata pihak zoo juga bertindak menjaga kebajikan kucing berkenaan termasuk memberi makanan bernutrisi selain memantau tahap kesihatannya.

    “Pada mulanya Oyen datang dengan sendiri dan akan menumpang makan makanan capybara yang diberi pekerja, tapi selepas itu kita juga menyediakan makanan kucing khas untuk Oyen.

    “Oyen juga sukar didekati, kita cuba nak dekat tapi tak boleh nak pegang ia, jadi tahap kesihatannya dipantau melalui reaksi dan najisnya, tapi buat masa ini ia memang sihat,” katanya sambil menambah jangka hayat kucing adalah kira-kira 15 tahun.

    Video pemasangan papan tanda yang dimuat naik menerusi TikTok Zoo Negara semalam juga mendapat reaksi positif dan komen lucu warganet antaranya menyifatkan kucing itu ‘berjaya menjadi pemastautin atau penduduk tetap’ zoo berkenaan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda