KUALA LUMPUR – Siti Zalifah, lebih dikenali dengan nama timangan ‘Sofea’ yang diberikan oleh suaminya, Mohd Salleh Zakaria, 51, kerana ‘wajahnya mirip aktres Sofea Jane’, amat sukakan kucing dan sering memberi makan kucing-kucing liar, terutamanya di sekitar pejabatnya.
“Biasanya saya akan membawa makanan seperti nasi dan ikan atau ayam goreng untuk memberi makan kepada kira-kira tujuh hingga 10 kucing di kawasan itu,” ujarnya.
Kucing beliau, Macho Kingsley yang berusia empat tahun dan lebih dikenali dengan nama panggilan King Oyen, ialah kucing American Shorthair-cum-Persian. Oyen sering mengikuti beliau dan suaminya semasa perjalanan berbasikal mereka.
Siti Zalifah menerima Macho Kingsley daripada anak lelakinya sebagai hadiah pada Oktober 2019, setelah anaknya menerima gaji pertamanya kerana dia tahu betapa Siti menyukai kucing.
“Oyen berkelakuan baik dan duduk tenang dalam bakul khas basikal apabila kami bersiar-siar di bandar,” kata pembantu peribadi berusia 50 tahun, dari Batu Pahat, Johor itu.
Pada tahun 2020, pandemik COVID meletus dan perintah kawalan pergerakan dilaksanakan. Siti Zalifah dan keluarganya tinggal di rumah dan mengisi masa lapang dengan melatih King Oyen untuk memakai pakaian dan bergaya seperti model. Foto-fotonya kemudian dimuat naik ke Internet.
“Pada tahun 2021, semasa pemulihan perintah kawalan pergerakan, kami mula melatih King Oyen untuk duduk di bakul basikal dan ikut sama dalam perjalanan berbasikal kami.
“Kami memuat naik gambar-gambar mengenai pengembaraan kami di internetdan ia menjadi tular,” kongsinya.
“Kami tidak menghadapi banyak cabaran semasa melatih King Oyen selain sifatnya yang ingin tahu dan keghairahannya,” kata Siti Zalifah.
“Pada awalnya, King Oyen suka berdiri dalam bakul khas basikal untuk melihat segala yang ada di sekelilingnya, sehingga menimbulkan kesukaran untuk berbasikal. Selain itu, King Oyen sangat pintar dan taat.
“King Oyen adalah kucing yang sangat unik kerana ia suka memakai baju. Ia boleh memakai kaca ma-ta, pakaian dan topi keledar selama lebih empat jam semasa kami berbasikal di sekitar bandar Kuala Lumpur pada waktu pagi atau malam,” tambahnya.
“Ia juga mampu mematuhi arahan untuk ‘pergi ke tandas’ sebelum berbasikal, dan tidak kisah bergambar dengan orang, jadi Oyen mempunyai ramai peminat,” tambahnya.
Buat masa sekarang, King Oyen mempunyai hampir 2,000 pengikut di Instagram.
“Kucing itu juga sangat fokus semasa berbasikal, dan duduk dengan baik dalam keranjang pembawa basikal. Ia tidak terganggu atau tertekan malah tidak rasa takut apabila kenderaan besar melepasinya,” kata Siti Zalifah.
Dia dan suami mulai berbasikal pada tahun 2021 apabila suaminya mengalami masalah lutut dan doktor menasihatkannya supaya mengikuti aktiviti berbasikal.
Mereka sering berbasikal untuk senaman dan memutuskan untuk melatih King Oyen untuk ikut serta dalam perjalanan bersama apabila mereka melihat ia amat meminati basikal.
“Oyen sentiasa bersifat kepochi (penyibuk) setiap kali suami saya bersiap sedia berbasikal atau membaiki basikal,” katanya.
Siti Zalifah menambah pada satu hari, King Oyen merajuk selama dua hingga tiga hari dan mereka tidak tahu sebabnya. Ia tidak mempedulikan semua orang dan duduk di bawah meja berdepan dinding untuk menunjukkan rasa tidak puas hatinya.
“Akhirnya, kami sedar ia dise-babkan Oyen rasa tersisih dan kesunyian apabila kami mengadakan perjalanan berbasikal dan tidak membawanya bersama. Maka suami saya dan saya memutuskan untuk membawanya dalam perjalanan seterusnya,” kata Siti Zalifah.
“Suami saya membeli sebuah bakul basikal khas untuk haiwan peliharaan dan memasangnya pada basikal.
“King Oyen berasa amat seronok apabila ia sedar kami akan membawanya bersama, tetapi kami perlu mempersiapkannya sebelum memulakan perjalanan.
“Saya akan bercakap dengannya dan memberitahunya berulang kali apa yang perlu dilakukan memandangkan ia boleh mengikut arahan dan duduk diam, dan pergi ke tandas sebelum perjalanan. Oyen memahami semua arahan yang diberikan,” tambahnya.
Perjalanan bersiar-siar dengan basikal pertamanya adalah pada Mac 2021 dan kucing itu berasa gementar dan juga teruja, namun segalanya berjalan lancar, menurut Siti Zalifah.
Pasangan suami isteri itu masih belum mengunjungi luar negara bersama King Oyen tetapi pernah membawanya bersiar-siar di negeri lain di Malaysia, termasuk Johor, Melaka dan Pahang.
Ia juga berpeluang menyertai mereka dalam acara berbasikal besar seperti Mega Himpunan Basikal Lipat Kebangsaan, Raya Ride bersama Baju Melayu di Dataran Merdeka dan Shah Alam dan Putrajaya Ride.
King Oyen amat terkenal dalam kalangan penunggang basikal, terutamanya ahli kelab berbasikal, kata Siti Zalifah.
“Adalah penting melayan haiwan peliharaan kami dengan baik kerana sama seperti manusia, haiwan juga rasa sakit, lapar, sunyi, bimbang dan takut. Haiwan mempunyai hak untuk hidup dengan baik tanpa didera, disakiti atau dieksploitasi,” katanya.
“Haiwan peliharaan kami adalah teman yang penyayang dan tidak mementingkan diri sendiri, sumber keakraban dan ia mengisi hidup kami dengan keceriaan. Menjadi tanggungjawab kami untuk memberikan haiwan peliharaan kasih sayang yang sepatutnya,” tambahnya. – ANN/The Star