Bekas pembantu kepada penyanyi kontroversi Amerika Syarikat, Sean Diddy Combs, Brendan Paul, mendakwa dia telah diarahkan membeli pelbagai jenis dadah bernilai ribuan dolar semasa bekerja dengan selebriti itu.
Brendan yang bekerja dengan Diddy dari akhir tahun 2022 hingga Mac 2024, berkata, dia diarahkan oleh Diddy untuk mendapatkan dadah seperti ganja, kokain, ekstasi, ketamin dan sejenis dadah yang dikenali sebagai ‘pink cocaine’.
Menurutnya, setiap dua bulan penyanyi itu akan mengarahkannya membeli ganja bernilai kira-kira AS$4,200 (sekitar RM19,800).
“Saya jarang lihat Diddy sendiri guna dadah, tapi saya memang disuruh beli,” katanya semasa memberi keterangan dalam perbicaraan kes pemerdagangan seks melibatkan Diddy di mahkamah, pada Sabtu.
Brendan juga mendakwa dia pernah diminta mencuba dadah terlebih dahulu sebelum diberikan kepada Diddy, termasuk satu kejadian ketika parti selepas konsert Coachella.

“Saya cuba dadah jenis 2C untuk pastikan ia ‘ok’. Lepas itu saya teruskan kerja seperti biasa,” katanya.
Memetik laporan Utusan Malaysia, selain itu, Brendan berkata, dia berhenti bekerja dengan Diddy selepas ditahan di lapangan terbang Miami pada Mac 2024 kerana memiliki kokain.
Dia mendakwa dadah itu ditemui di bilik Diddy sebelum mereka bertolak bercuti ke Bahamas, namun terlupa mengeluarkannya dari beg sebelum sampai ke lapangan terbang.
Ketika ditanya peguam bela, Brendan menjelaskan tiada siapa yang menyuruhnya membawa dadah tersebut, termasuk Diddy sendiri.
Kes terhadapnya akhirnya digugurkan, namun dia mengaku tidak memberitahu pihak berkuasa dari mana dadah itu diperoleh kerana masih setia dengan bekas majikannya.
Pada awal perkhidmatan, Brendan berkata tugasnya adalah membantu merancang diet dan senaman Diddy berikutan pernah menjadi pemain bola keranjang di peringkat kolej.
Namun lama-kelamaan, tugasnya menjadi semakin berat termasuk perlu berjaga selama beberapa hari tanpa tidur.
“Kadang-kadang saya dipecat tanpa sebab, kemudian diambil bekerja semula seperti tiada apa-apa berlaku,” katanya. – Agensi