Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    P.K.L sebagai tanda penghargaan

    Oleh Sim Y. H.

    Gambar oleh Danial Norjidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Penganugerahan Pingat Kerja Lama (P.K.L) dan Sijil Bersara adalah sebagai penghargaan kepada para penerima yang telah memberikan khidmat bakti dan sumbangan selama bertugas di Kementerian Perhubungan serta jabatan-jabatan dan agensi-agensi di bawahnya.

    P.K.L merupakan salah satu daripada pingat-pingat kehormatan Negara Brunei Darussalam yang dianugerahkan kepada penjawat awam sebagai tanda penghargaan bagi mereka yang berkhidmat sekurang-kurangnya 20 tahun dan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik.

    Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad dalam kata alu-aluannya semasa Majlis Penyampaian P.K.L sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 serta Penyampaian Sijil Bersara bagi Kementerian Perhubungan serta jabatan-jabatan dan agensi-agensi di bawahnya, yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Perhubungan, Jalan Menteri Besar, Berakas, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof dan isteri.

    Turut hadir ialah isteri Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan dan Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Dr Haji Supry bin Haji Awang Ladi serta isteri.

    Yang Berhormat Awang Abdul Mutalib menyampaikan P.K.L kepada salah seorang penerima.
    Yang Berhormat Awang Abdul Mutalib menyampaikan sijil kepada salah seorang pesara.

    Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Awang Abdul Mutalib menyampaikan pingat kepada seramai 28 orang penerima yang telah berkhidmat lebih 20 tahun dan menyampaikan sijil bersara kepada seramai 54 orang penerima.

    Majlis turut diselajurkan dengan Sambutan Hari Raya Kementerian Perhubungan yang dihadiri oleh pegawai dan kakitangan kementerian serta jabatan-jabatan dan agensi-agensi di bawahnya bersama keluarga mereka.

    Majlis sambutan yang dikelolakan oleh Jabatan Perkhidmatan Pos itu, dihasratkan untuk memberikan peluang kepada para jemputan untuk beramah mesra dalam sama-sama mengukuhkan silaturahim antara pegawai dan kakitangan warga kementerian.

    Antara acara menarik yang disusun bagi majlis sambutan berkenaan ialah pertandingan video yang bertemakan ‘Raya The Movie’.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda