Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    PABM hantar 2 atlet angkat berat ke luar negara

    KUALA LUMPUR, 1 DIS – Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bakal menghantar dua atlet angkat berat negara masing-masing Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin, merantau di luar negara sebagai rangka persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

    Naib Presiden PABM, Amirul Hamizan Ibrahim berkata latihan di luar negara itu, pada masa sama memberikan peluang buat Mohamad Aniq dan Muhamad Aznil bersaing sesama sendiri, bagi memburu kedudukan 10 orang atlet terbaik dunia bagi meraih slot ke Paris.

    Mohamad Aniq kini berada di kedudukan ke-10 dunia manakala Muhamad Aznil di kedudukan ke-11 dunia. Kelayakan ke Sukan Olimpik hanya dihadkan kepada 10 orang atlet terbaik dunia sahaja.

    “Buat masa ini, negara yang menjadi pilihan sama ada China atau Indonesia. Mereka akan berada selama 30 hari di sana, sebelum meneruskan kelayakan akhir pada April 2024.

    “Ketika ini Aniq dan Aznil saling memintas satu sama lain, malah perbezaan angkatan mereka pun hanya 1 kilogram (kg),” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Bagaimanapun, Amirul Hamizan berkata kedua-dua atlet itu akan menyertai Kejohanan Angkat Berat Antarabangsa di Qatar pada 12 Disember ini, sebelum pihaknya mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Road to Gold (RTG), bagi tujuan meminta pelepasan menjalani latihan di luar negara itu.

    “Selepas kejohanan itu, kita akan lihat kedudukan dunia yang baharu kerana selepas itu kita ada lagi dua kelayakan dengan yang terakhir di Pattaya, Thailand pada April 2024.” – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda