Thursday, October 3, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    PAC turun padang pastikan pelaksanaan projek bermanfaat untuk rakyat

    KOTA KINABALU, 2 OKT – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan terus melaksanakan tindakan proaktif turun padang bagi melihat sendiri permasalahan dihadapi rakyat sekali gus memastikan pelaksanaan projek kerajaan benar-benar bermanfaat.

    Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata pendekatan itu juga mengeratkan lagi kerjasama antara PAC Parlimen dan negeri yang sememangnya mempunyai punca kuasa sama iaitu untuk memantau segala perbelanjaan dan juga kewangan kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri.

    Sehubungan itu, beliau berkata PAC Parlimen buat kali pertama mengadakan lawatan kerja ke Sandakan dan Tawau bagi prosiding isu pengurusan air negara bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Bekalan Air Luar Bandar Sabah dan Sarawak di bawah Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

    “Apabila adakan lawatan kerja kita dapat tengok sendiri bagaimana projek itu dilaksanakan dan mendapat maklum balas daripada komuniti yang terlibat dan ini sangat penting berbanding hanya duduk di dalam bilik prosiding serta mendengar laporan daripada orang lain.

    “Tetapi kali ini kita turun padang dan kita lihat sendiri terutama sekali apabila masalah melibatkan teknikal,” katanya kepada pemberita selepas Prosiding Pengurusan Air Negara dan Bekalan Air Luar Bandar Sabah dan Sarawak, di Kota Kinabalu, hari ini.

    Beliau berkata dalam lawatan kerja yang telah diadakan, PAC dimaklumkan mengenai isu-isu pelaksanaan projek terutamanya bagi perkara yang ditegur oleh pihak audit dalam laporannya. – Bernama

    Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika bercakap pada sidang media di Bangunan Parlimen, pada 17 Julai. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda