MADRID, 5 Nov – Barcelona terus memecahkan rekod bagi aksi permulaan mereka dalam La Liga musim ini dengan menewaskan Sevilla 2-1 menerusi dua jaringan Paco Alcacer awal pagi tadi dalam persekitaran di Camp Nou yang dicemari dengan pergolakan politik di Catalonia.
Bendera besar Catalan dan pemidang yang berbunyi ‘keadilan’ dalam bahasa Catalan dan Inggeris dipamerkan sebelum sepak mula selepas lapan menteri dari kerajaan Catalan yang digulingkan oleh Madrid ditahan bergantung bagi kemungkinan perbicaraan terhadap peranan mereka dalam hasrat kemerdekaan Catalan.
Laungan kuat ‘kebebasan’ juga bergema sekitar stadium terbesar Eropah itu sepanjang 90 minit perlawanan.
Dua pemidang besar berbunyi ‘Kebebasan bagi banduan politik’ dan ‘Eropah memalukan’ dipegang oleh sebahagian penyokong Barca.
Jurulatih Barca, Ernesto Valverde minggu lalu bergurau bahawa gangguan luar padang jelas membantu pasukannya dan sekali lagi mereka tidak terjejas dalam melakarkan kemenangan ke-10 dalam 11 perlawanan pembukaan mereka bagi perlawanan La Liga.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P21-C_061117.jpg)
Tuan rumah mampu menjaringkan tiga gol dalam tempoh 10 minit awal ketika Clement Lenglet berjaya mengeluarkan bola dari garisan hasil percubaan Sergio Busquet, David Soria menafikan Luis Suarez dan Ivan Rakitic melepaskan rembatan jarak jauh yang hanya tersasar beberapa inci.
Alcacer adalah pilihan mengejutkan dalam barisan utama kendalian Valverde dan dia membuka jaringan dalam penampilan pertamanya dalam liga sejak hari pertama musim ini.
Hantaran lintang Suarez tidak dapat dikawal oleh Sergio Escudero dan jatuh tepat kepada Alcacer yang menyudahkan jaringan menewaskan Soria.
Tidak begitu memberikan ancaman sebelum rehat, Sevilla keluar dengan pasukan berbeza selepas rehat dan menyamakan kedudukan sebelum perlawanan memasuki satu jam apabila Guido Pizarro menyudahkan sepakan sudut Ever Banega.
Barca memberikan tindak balas dengan segera, dan enam minit kemudian mendapatkan jaringan kemenangan apabila Alcacer menyudahkan hantaran lintang Rakitic dari jarak dekat. – AFP