Monday, July 21, 2025
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pacquiao kecewa keputusan seri menentang Barrios

    LAS VEGAS, 20 JULAI – Hasrat Manny Pacquiao untuk mencipta kisah dongeng dalam kemunculan semula ke gelanggang tinju pada usia 46 tahun berakhir dengan kekecewaan apabila ikon Filipina itu seri menentang juara bertahan WBC welterweight, Mario Barrios, dalam satu pertarungan sengit di MGM Grand Garden Arena, Las Vegas, kelmarin.

    Barrios, 30, berjaya mempertahankan tali pinggang kejuaraannya walaupun diasak hebat oleh Pacquiao dalam beberapa pusingan. Pertarungan ini menandakan kemunculan semula Pacquiao selepas empat tahun bersara daripada sukan tinju profesional.

    Seorang pengadil memberikan kemenangan kepada Barrios dengan kiraan 115-113, manakala dua lagi pengadil memberikan keputusan seri 114-114.

    Keputusan itu disambut dengan reaksi hambar oleh penonton yang memenuhi arena dan bersorak sepanjang perlawanan yang penuh dengan ketegangan.

    Pada beberapa ketika, Pacquiao kelihatan hampir mencipta satu lagi babak luar biasa dalam kerjaya profesionalnya yang telah menjangkau 30 tahun, menggunakan segala kepakaran dan pengalaman untuk menewaskan Barrios.

    Manny Pacquiao (kanan) melepaskan tumbukan ke arah Mario Barrios dalam pertarungan perebutan gelaran WBC welterweight pada 19 Julai di Las Vegas, Nevada. – AFP
    Manny Pacquiao terpaksa akur dengan keputusan seri semasa kemunculan semula ke gelanggang tinju bagi menentang juara bertahan welterweight WBC, Mario Barrios di MGM Grand Garden Arena, Las Vegas. – AFP

    Namun, Barrios bangkit pada tiga pusingan terakhir – ketiga-tiga pengadil memberikan kemenangan kepadanya dalam pusingan-pusingan itu – dan usahanya cukup untuk memastikan keputusan seri yang membolehkannya mengekalkan gelaran.

    “Saya rasa saya menang pertarungan ini,” kata Pacquiao selepas pertarungan. “Memang pertarungan yang sengit. Lawan saya sangat kuat. Tapi ia pertarungan yang hebat.

    “Saya cuba mencari ruang untuk menamatkan perlawanan, tetapi lawan saya sangat kuat. Dia melancarkan serangan secara kombinasi dan mempunyai pertahanan yang baik, jadi memang sukar.”

    Barrios pula menyatakan bahawa beliau merasakan sudah cukup untuk meraih keputusan seri. “Saya rasa saya sudah melakukan cukup untuk menang,” katanya. “Namun saya tetap hormat kepada Manny. Satu penghormatan besar dapat berkongsi gelanggang dengan seorang legenda yang telah capai begitu banyak dalam sukan ini. Kami tinggalkan segalanya di gelanggang – hanya cinta dan rasa hormat.”

    Barrios turut mengakui bahawa beliau terpegun dengan tahap tenaga dan ketahanan Pacquiao.

    “Memang luar biasa – staminanya, dia masih mampu memberikan tumbukan yang kencang. Pengaturan masa, ritma serangan, semuanya masih berbisa. Dia masih merupakan lawan yang sukar untuk dibaca,” ujarnya.

    Barrios mendedahkan beliau diberitahu untuk meningkatkan intensiti serangan pada pusingan-pusingan terakhir demi memastikan kemenangan.

    “Saya tahu saya perlu gandakan usaha untuk mencuba dan kukuhkan kedudukan saya,” katanya.

    “Saya cuba benar-benar menekan Pacquiao, untuk membuatnya keletihan. Tapi dia masih ada kaki yang bagus – masih banyak tenaga dan semangat juang dalam dirinya.”

    Pacquiao pula menyatakan hasratnya untuk terus bertinju dan terbuka untuk mengadakan perlawanan semula menentang Barrios. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda