Pacquiao lawan Mayweather – Roach

LOS ANGELES, 11 JULAI – Pelatih Freddie Roach berkata dia berharap Manny Pacquiao dapat bertarung semula dengan Floyd Mayweather selepas legenda Filipina itu selesai bertarung dengan Keith Thurman di Las Vegas bulan ini.

Roach memberitahu wartawan bahawa dia masih terganggu dengan kekalahan Pacquiao kepada Mayweather dalam pertarungan 2015, yang dikatakan sebagai ‘Fight of the Century’ tetapi akhirnya hanya mengecewakan para peminat tinju.

Pacquiao kemudian berkata satu kecederaan bahu telah menjejaskan pertarungannya semasa kekalahan 12 pusingan itu, sementara Mayweather kemudian bersara pada hujung tahun itu dengan rekod sempurna. Pacquiao, yang bersara pada 2016 namun keluar daripada persaraan hujung tahun yang sama, memilih untuk terus bertarung.

Petinju Filipina itu mahu meraih mahkota welterweight WBA pada 20 Julai apabila dia berdepan juara Amerika, Keith Thurman di MGM Grand. Roach berharap kemenangan ke atas Thurman akan memberi laluan bagi pertarungan semula dengan Mayweather jika dia dapat dipujuk untuk naik ke gelanggang sekali lagi.

“Kami harap dapat memujuk Mayweather untuk berbincang,” kata Roach kepada wartawan di gim Wild Card. – AFP

Manny Pacquiao (kiri) ketika menjalani latihan bersama Freddie Roach di California menjelang pertarungan menentang Keith Thurman. – AFP