LAS VEGAS, 20 OGOS – Manny Pacquiao berkata pertukaran lawan tidak menjejaskan sesi latihannya untuk merebut kembali mahkota gelaran dunia welterweight selepas dua tahun bersara di gelanggang tinju semalam.
Bintang tinju dari Filipina itu akan berdepan juara WBA, Yordenis Ugas di Las Vegas T-Mobile Arena dalam pertarungan yang dijadualkan selepas lawan sebenar, Errol Spence Jr menarik diri kerana bergelut dengan kecederaan mata.
Penarikan diri pada saat akhir oleh Spence yang masih belum pernah ditewaskan dalam pertarungan IBF dan juara WBC itu, mengecewakan Pacquiao, 42, yang mengidamkan satu pertarungan hebat pada penghujung kariernya.
Perkara itu menyebabkan Pacquiao yang tidak turun bertarung sejak menewaskan Keith Thurman untuk merangkul gelaran WBA pada Julai 2019, perlu menyusun semula latihannya kerana akan berdepan dengan lawan yang mempunyai kelebihan tumbukan tangan kanan berbanding tangan kiri sebelum ini.
Pacquiao dengan pencapaian 62-7-2, 39 kalah mati perlu mengatur semula taktikal perlawanan dalam mempersiapkan diri untuk menghadapi pertarungan yang ke-72 sepanjang karier profesional yang bermula sejak 1995.

“Saya hanya memerlukan dua hari untuk mengatur semula latihan berdepan Ugas. Saya pernah berdepan dengan ramai lawan yang menggunakan tangan kanan sebelum ini,” kata Pacquiao.
“Lebih sukar untuk membuat persediaan daripada lawan tangan kanan ke tangan kiri. Kebanyakan lawan saya adalah tangan kanan, jadi tiada apa yang perlu bimbang mengenainya.”
Pertarungan yang dijadualkan dalam waktu singkat itu memberi peluang kepada Pacquiao untuk meraih lebih banyak mata.
Pacquiao secara kontroversial dilucutkan gelaran WBAnya dengan alasan ‘tidak aktif’ awal tahun ini walaupun terdapat gangguan global terhadap tinju yang disebabkan oleh wabak COVID-19.
WBA sebaliknya menyerahkan tali pinggang kepada Ugas.
“Saya tidak suka seseorang mengambil tali pinggang saya tanpa mencabar saya di gelanggang,” kata Pacquiao. – AFP