Pacquiao umum persaraan, cabar jawatan presiden

MANILA, 29 SEPT – Petinju legenda Filipina dan pencabar jawatan presiden 2022, Manny Pacquiao berkata hari ini, yang dia mengumumkan persaraan selepas terlibat dalam karier gelanggang selama berdekad-dekad.

Pacquiao merupakan juara dunia dan senator, menyasarkan untuk menggantikan Presiden Rodrigo Duterte, berkata dia bersara dari sukan yang telah mengeluarkannya dari kemiskinan adalah ‘keputusan paling sukar’ dalam hidupnya.

“Sukar untuk saya menerimanya bahawa masa saya sebagai petinju sudah tamat,” Pacquiao, 42, berkata dalam video mesej di Twitternya. “Hari ini saya mengumumkan persaraan saya.”

Keputusan tersebut dibuat beberapa minggu selepas Pacquiao, dianggap sebagai salah seorang petinju terbaik sepanjang zaman, tewas dalam perlawanan profesional terakhirnya menentang Yordenis Ugas dari Cuba di Las Vegas.

Pacquiao, yang mula menceburi bidang politik pada 2010 sebagai ahli kongres sebelum dilantik menjadi Senator, berkata minggu lalu bahawa dia akan mencabar untuk merebut jawatan presiden di negaranya. Pacquiao berterima kasih kepada jutaan peminatnya di seluruh dunia dan memberikan penghargaan kepada pelatihnya, Freddie Roach yang disifatkannya sebagai ‘ahli keluarga, saudara dan sahabat’.

Keputusan tersebut menamatkan spekulasi berminggu-minggu bahawa Pacquiao merancang untuk bersara selepas 26 tahun menjadi petinju profesional. Dia menamatkan kariernya dengan rekod 62-8 dan dua kali seri.

“Dia akan diletakkan sebagai legenda bukan sahaja dalam sukan tinju malahan dalam bidang sukan seluruh dunia,” kata Ted Lerner, jurnalis sukan kelahiran Amerika Syarikat di Filipina, memberitahu AFP.

“Pada masa akan datang, namanya akan menjadi sinonim dengan kehebatan, sama taraf dengan Michael Jordan atau mereka yang hebat dalam sukan masing-masing.” – AFP

Reaksi Manny Pacquiao melambai peminat selepas kekalahan di tangan Yordenis Ugas di Las Vegas. Pacquiao mengumumkan persaraan dari sukan tinju selepas 26 tahun. – AFP