Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Syarikat-syarikat yang ditubuhkan memainkan peranan penting dalam menjadi sebagai penanda aras kepada kejayaan serta memacu daya saing dalam industri masing-masing.
Kejayaan syarikat-syarikat berkenaan akan memberikan inspirasi dan menetapkan standard untuk dicapai oleh perniagaan-perniagaan lain di mana ia akan menjana sebuah persekitaran daya saing yang sihat.
Perkara itu antara yang diketengahkan oleh Pengarah Pembangunan Keusahawanan, Darussalam Enterprise (DARe), Dayang Norlela binti Suhailee dalam kata alu-aluannya pada Majlis Rangkaian bagi Program Elevate Kohort 3 yang berlangsung di The Garden’s Veranda, Rimba, hari ini.
Hadir semasa acara berkenaan ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Brunei Economic Development Board (BEDB) dan DARe, Daniel Leong, pihak pengurusan BEDB dan DARe, peserta program, rakan kongsi program serta para jemputan khas.
Dayang Norlela menyatakan lagi bahawa suasana daya saing berkenaan akan membawa kepada penaikan taraf berterusan, efisien serta perkhidmatan dan produk yang berkualiti lebih tinggi yang semuanya akan memberikan manfaat kepada ekonomi secara keseluruhan.
Beliau menerangkan bahawa Elevate merupakan salah satu inisiatif utama DARe yang disasarkan kepada perniagaan-perniagaan yang ditubuhkan yang menunjukkan potensi tinggi bagi pertumbuhan dalam sektor industri masing-masing.
Menerusi inisiatif berkenaan, DARe bermatlamat untuk menubuhkan hubungan yang efektif dengan perniagaan berkenaan, menyediakan bimbingan dan sokongan yang diperlukan, berusaha ke arah matlamat perniagaan yang jelas serta membantu mereka untuk mencapai sasaran pertumbuhan mereka.
Menerusi inisiatif itu lagi, tambahnya, DARe berhasrat untuk berusaha ke arah menjana perjalanan perniagaan yang berkesan bersama para peserta program, berupaya bagi menyumbang kepada aspirasi dan pembangunan ekonomi negara yang bermakna selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 dan Pelan Induk Ekonomi bagi Brunei Darussalam.
Pada majlis itu, Pengurus Elevate, Ilie Rahman telah menyampaikan taklimat ringkas mengenai Elevate yang merupakan program pertumbuhan yang menyediakan bantuan khusus serta pemantauan kerap bagi tempoh lima tahun untuk syarikat-syarikat ditubuhkan yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi.
Beliau menerangkan bahawa program itu bermatlamat untuk membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berpotensi menjadi lebih berdaya tahan dan mampan, berupaya untuk bekerjasama dan berkembang di peringkat antarabangsa serta menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi dan industri Brunei.
Pada majlis itu juga, wakil-wakil daripada sembilan buah syarikat yang menyertai Program Elevate Kohort 3 iaitu Atoll Oxygen Sdn Bhd, HANR Sdn Bhd, HC Cheong Enterprise (Easy Way), Hungry Hippo Cafe, Julia Laila Jewellery, Mozzat Enterprise Sdn Bhd, Osco Sdn Bhd, Pitch Company dan Top Folk Food Group, telah memberikan pengenalan ringkas mengenai syarikat masing-masing.
Majlis itu memberi peluang kepada peserta Kohort 3 untuk membina rangkaian dan hubungan dengan para jemputan khas, mengetengahkan manfaat, ciri dan hasil yang dihasratkan daripada program Elevate serta untuk menjana sokongan bagi program berkenaan.