Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Pacu inovasi sistem, dasar pendidikan

    Oleh Yusrin Junaidi

    Pendidikan merupakan antara tunjang utama dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035 dan inti patinya menumpukan untuk melahirkan rakyat yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi sebagai aset negara yang mampu mendukung dan memacu ke arah kemajuan negara.

    Strategi Pendidikan merupakan salah satu daripada lapan strategi yang turut dikenal pasti dan ini adalah bertepatan dengan visi Kementerian Pendidikan iaitu Pendidikan Berkualiti ke arah Negara yang Membangun, Aman dan Sejahtera.

    Lawatan tidak berjadual Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ke beberapa buah universiti pada tahun lepas jelas memperlihatkan keprihatinan Baginda Sultan dalam bidang pendidikan.

    Dalam siri lawatan tidak berjadual ke universiti-universiti di Brunei, Baginda Sultan bertitah menekankan hasrat melihat universiti bukan sahaja maju selaras peredaran era teknologi malah menginginkan siswa dan siswi universiti dibekalkan dengan ilmu-ilmu pertanian, ternakan dan seumpamanya yang berlandaskan agama Islam.

    Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan juga terus memantau dan memperbaiki sistem pendidikan dan pendekatan pembelajaran di peringkat rendah, menengah dan tinggi bagi melahirkan sumber tenaga manusia yang berpengetahuan, berkemahiran dan relevan, sekali gus mampu membekalkan keperluan pasaran dan ekonomi, namun masih berpegang teguh kepada nilai-nilai Melayu Islam Beraja.

    Dr Najib (kanan) menyatakan penduduk dan rakyat Brunei cukup bertuah kerana dasar dan sistem pendidikan negara bukan hanya menumpukan kemajuan kognitif dan duniawi, malah turut menitikberatkan kepentingan nilai rohani dan sosiobudaya secara holistik.
    Gambar fail 15 Februari menunjukkan pelajar Sekolah St John mengibarkan bendera. Kementerian Pendidikan terus memantau dan memperbaiki sistem pendidikan dan pendekatan pembelajaran di semua peringkat.

    Sistem pendidikan

    Dasar dan sistem pendidikan yang bersepadu dan berkualiti seiring kehendak dan keperluan semasa dan industri serta program-program latihan juga perlu diperkukuhkan di semua peringkat kerajaan dan bukan kerajaan.

    Dasar dan sistem pendidikan yang berkualiti sudah tentu boleh menyediakan rakyat yang boleh menyumbang kepada keperluan prasarana teknologi yang sentiasa berubah, melahirkan guru berkemahiran dan sentiasa bersiap siaga serta individu yang kompeten dan re-levan bukan sahaja di peringkat nasional, malah arena antarabangsa.

    Sebelum ini, pakar-pakar ilmuwan seperti Profesor Andy Kirkpatrick dari Griffith University, Australia dan Profesor Haji Awang Asbol bin Haji Mail, Profesor Madya Gary Jones, Profesor Madya Noor Azam bin Haji Othman, Profesor Madya James McLellan dan Dr Najib Noorashid dari Universiti Brunei Darussalam turut menerbitkan sejumlah artikel sejak awal tahun 2000 sehingga ke hari ini yang membincangkan cabaran dan keberkesanan sistem pendidikan dwibahasa melalui Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN-21).

    Kajian-kajian ilmiah bersifat kompa-ratif dan kontemporari yang dijalankan mereka turut bersepakat mengakui progres kejayaan dan potensi SPN-21 dalam melahirkan generasi dwibahasa yang berkompetensi tinggi, jika dibandingkan negara-negara serantau. Kajian-kajian ilmiah seperti ini turut membantu kepada penelitian semasa dan berterusan dalam memahami situasi pendidikan dan keperluan signifikan untuk kita bersama-sama menjayakan Wawasan Brunei 2035.

    Merealisasikan wawasan 2035 dalam pendidikan

    Dalam temu bual bersama pensyarah di Universiti Brunei Darussalam, Dr Najib bin Noorashid ketika dihubungi wartawan menjelaskan kepentingan peranan dan kesedaran individu sebagai rakyat Brunei dalam sentiasa menyokong usaha kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

    Beliau berkata, “Bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu Menjayakan Wawasan Negara, ia menjadi tanggungjawab bersama bagi kita sebagai rakyat Brunei untuk memahami dan mempraktikkan ciri-ciri dan sifat-sifat calak Brunei dan bersama-sama mendukung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerajaan Baginda yang terus berusaha untuk mengimplementasi, meneliti dan menginovasi sistem dan dasar pendidikan negara ke arah memacu misi dan visi Wawasan Brunei 2035. Kita cukup bertuah kerana dasar dan sistem pendidikan negara kita bukan hanya menumpukan kemajuan kognitif dan duniawi, malah turut menitikberatkan kepentingan nilai rohani dan sosiobudaya secara holistik.

    “Dengan adanya kerjasama berterusan antara Kementerian Pendidikan dan pihak-pihak berkepentingan yang lain, usaha dalam mewujudkan sistem dan dasar pendidikan, pembelajaran dan latihan yang kukuh akan dapat memastikan kesemua individu mempunyai peluang untuk mengembangkan potensi mereka, sekali gus menjadi tenaga kerja yang produktif bagi memenuhi keperluan tenaga manusia dan kepentingan nasional.

    “Kita punya 12 tahun lagi untuk terus mengorak langkah ke hadapan dan berusaha mencapai kesemua matlamat Wawasan Brunei 2035. Kita tidak menafikan terdapat cabaran-cabaran dan himpitan dalam memahami kehendak sosialisasi, modenisasi dan globalisasi, namun saya turut percaya jika setiap individu memainkan peranan dan menggalas tanggungjawab sebagai belia berwawasan dan rakyat pemedulian di negara ini, tanah air kesayangan kita ini pasti boleh mencapai matlamat-matlamat yang menjadi aspirasi nasional.

    “Insya-Allah, jika ini terjadi, kita akan menyaksikan Negara Brunei Darussalam berdiri teguh dalam kalangan 10 negara teratas di dunia yang mempunyai ekonomi yang dinamik, mampan dan berdaya tahan.”

    Pendidikan agama dukung wawasan

    Dalam lawatan ke Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan bahawa sudah tiba masanya universiti itu memiliki mashafnya yang tersendiri.

    Sehubungan dengan itu, setelah hampir 10 tahun, mashaf yang ditulis oleh anak-anak tempatan telah digunakan buat pertama kalinya bagi menggantikan cokmar pada Majlis Hafl Al-Takharruj ke-10 UNISSA pada November tahun lalu. Baginda Sultan turut berkenan melancarkan penulisan Mashaf UNISSA itu, memulakan penulisan mashaf dengan menulis Basmalah pada lembaran Ummul Kitab.

    Dengan pelancaran itu, mashaf tersebut diharap akan menjadi sumber keberkatan dan simbol keagungan Islam di Negara Brunei Darussalam di samping menjadi kepala perarakan menggantikan cokmar yang diusung ketika Majlis Hafl Al-Takharruj.

    Mashaf tersebut unik kerana penulis-penulisnya terdiri daripada anak tempatan yang juga merupakan tenaga akademik di UNISSA.

    Pencapaian dan kemajuan pendidikan dalam pelbagai bidang ini jelas dilihat melalui peningkatan program dan kursus yang telah dilaksanakan secara menyeluruh di negara ini. Usaha-usaha berkenaan juga adalah untuk melahirkan generasi berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya ke arah mencapai wawasan 2035.

    Selain universiti tempatan, institusi pendidikan tinggi lain seperti Politeknik Brunei dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei turut ditinjau Baginda bagi memastikan kualiti pendidikan di sana turut terpelihara dan dinaiktarafkan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...