Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pacu pertumbuhan ekonomi sambil imbangi alam sekitar

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) Negara Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah bagi Persidangan Perniagaan Brunei 2023 dan Mesyuarat ABAC ke-2 yang akan berlangsung di Indera Samudera Grand Hall, The Empire Brunei pada 27 hingga 30 April.

    Acara yang membawa tema ‘Ekuiti. Kemampanan. Peluang’ itu akan menyaksikan buat kali pertama Pengerusi ABAC dan Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (BAC) sama-sama menghadiri persidangan serta mesyuarat berkenaan.

    Persidangan dan mesyuarat ABAC akan menyaksikan penyertaan delegasi-delegasi daripada 21 buah ekonomi APEC yang diketuai oleh Pengerusi ABAC 2023, Dominic Ng iaitu Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif East West Bank yang beribu pejabat di California, Amerika Syarikat.

    Dominic Ng semasa persid-ngan dan mesyuarat itu akan berusaha untuk memajukan keutamaan bagi memacu pertumbuhan ekonomi dalam mengimbangi alam sekitar, menangani perubahan iklim, menyokong sumbangan sektor swasta kepada kemampanan serta mempromosikan dasar-dasar yang mengembangkan peluang-peluang ekonomi di serata rantau APEC.

    Turut mengambil bahagian dalam persidangan itu ialah Pengerusi BAC 2023, Arsjad Rasjid yang juga merupakan Pengerusi Kamar Dagang dan Industri Indonesia (KADIN Indonesia) dan Ketua Pegawai Eksekutif Indika Energy.

    Selaku Pengerusi KADIN Indonesia, Rasjid bersuara sebagai wakil kepada lebih 30,000 buah syarikat Indonesia manakala sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Indika Energy, kepimpinannya telah mengemudi syarikat berasaskan mineral untuk mengembangkan asetnya tujuh kali ganda walaupun harga global jatuh, dengan menumpukan kepada kepelbagaian, teknologi digital dan tenaga boleh diperbaharui.

    Pada persidangan itu nanti, Arsjad Rasjid akan mengongsi keutamaan dan program yang dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin ASEAN-BAC untuk dimajukan pada 2023, dalam bidang-bidang transformasi digital, pembangunan mampan, daya tahan kesihatan, sekuriti makanan serta memudahkan pelaburan dan perdagangan.

    Perbincangan semasa mesyuarat ABAC di Negara Brunei Darussalam akan memajukan kerja membangunkan cadangan-cadangan ABAC kepada pemimpin-pemimpin ekonomi APEC serta ia juga akan membimbing perbincangan bagi dialog tahunan mereka di Sidang Kemuncak Pemimpin APEC pada November nanti.

    Persidangan Perniagaan Brunei diadakan bersempena dengan Mesyuarat ABAC pada 27 April nanti, merupakan peluang yang unik bagi komuniti perniagaan Brunei untuk bertemu dengan tokoh-tokoh perniagaan ASEAN BAC dan ABAC.

    Arsjad Rasjid.
    Dominic Ng.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda