BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Bank Baiduri, Datastream Digital (DST) dan jenama pembayaran antarabangsa UnionPay telah bekerjasama untuk melancarkan dompet mudah alih digital DSTPay bagi pelanggan mereka di Brunei.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini, hari ini, DSTPay adalah penyelesaian pembayaran kod QR pertama Bank Baiduri dan UnionPay. Aplikasi berkenaan juga menandakan dompet mudah alih pertama UnionPay International (UPI) di Asia Tenggara yang menampilkan kerjasama tiga pihak iaitu bank, syarikat telekomunikasi dan rangkaian pembayaran antarabangsa.
Dengan pelancaran berkenaan, para pelanggan Bank Baiduri dan UPI akan dapat menggunakan DSTPay untuk mengimbas kod-kod QR di lebih 200 cawangan kedai daripada pelbagai industri seperti makanan dan minuman, pasar raya, pasar raya mini, perkhidmatan-perkhidmatan dan banyak lagi di Brunei.
Apabila penerbangan antarabangsa disambung semula, pengguna akan dapat mengimbas kod-kod QR bagi pembayaran di lebih 30 juta perusahaan di 45 pasaran dan di destinasi-destinasi kegemaran, pelanggan akan dapat menggunakan DSTPay untuk membuat pembayaran dengan hanya tapping telefon mereka tanpa sentuhan di 25 juta perusahaan UnionPay seluruh dunia.
Kenyataan menjelaskan, kod QR UnionPay adalah berdasarkan standard EMVCo dan menawarkan banyak faedah, ia adalah cara pembayaran tanpa sentuhan yang pantas, mudah dan terjamin bagi pelanggan.
Bagi para perusahaan, kod QR bukan sahaja lebih cepat disediakan bagi pembayaran tanpa wang tunai, malah lebih jimat berbanding pembayaran kad tradisional.
Menurut kenyataan itu lagi, inisiatif dompet digital berkenaan juga selaras dengan Peta Jalan Pembayaran Digital yang dimulakan oleh Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) yang kini dikenali sebagai Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB) sebagai sebahagian daripada inisiatif strategiknya untuk memacu transformasi digital bagi pengguna dan perniagaan di Brunei.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dipetik berkata, “Kami gembira untuk menjadi sebahagian daripada kerjasama bersama DST dan rakan antarabangsa kami, UPI untuk memupuk transformasi digital bagi pembayaran di Brunei.”
Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri bin Radin Basiuni pula berkata, “Kerjasama kami bersama Bank Baiduri dan UnionPay untuk melancarkan DSTPay telah menggerakkan kami selangkah ke hadapan ke arah membangunkan dan membolehkan Brunei mencapai Negara Pintar.
“Kami gembira kerana dapat menyediakan pelanggan dengan lebih banyak nilai dengan meningkatkan pengalaman pembayaran menerusi pendigitalan dompet kita dan ini membantu kami untuk mencapai matlamat kami dalam mewujudkan ekosistem pintar bagi pembayaran dan perdagangan mudah alih di samping rakan-rakan kami, pelanggan dan pengguna,” tambah beliau.
Sementara itu, Pengurus Besar UPI Asia Tenggara, Huiming Cai pula menyatakan, “Selaras dengan membawakan perkhidmatan pembayaran yang lebih lancar, berintegrasi dan mudah, UPI gembira untuk bekerjasama dengan Bank Baiduri dan DST bagi memperkenalkan pembayaran kod QR pelanggan kami di Brunei.
“Kami percaya bahawa dompet digital ini akan meningkatkan pengalaman pembayaran bagi pelanggan kami, membuat pembayaran terjamin dan tanpa tunai dengan lebih mudah dan terjamin,” tambah beliau.
Kenyataan menyatakan bahawa aplikasi berkenaan kini boleh dimuat turun menerusi App Store dan Google Play. Selepas memuat turun, pelanggan akan layak untuk memohon bagi kad UnionPay jenama bersama digital pada dompet digital berkenaan.