Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Balai Polis Kuala Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), pada 25 Februari lalu, telah menerima satu laporan berkenaan beberapa pesanan ringkas, yang telah tular melalui aplikasi WhatsApp yang mengandungi ayat-ayat mengaibkan PDB.
Sehubungan dengan laporan berkenaan, pada 26 Februari, keanggotaan Daerah Polis Belait telah berjaya menahan seorang suspek wanita yang dipercayai terlibat dengan kejadian itu, menurut kenyataan PDB yang dikeluarkan, di sini, hari ini.
Kenyataan itu menyatakan lagi bahawa suspek berkenaan telah dibawa ke Balai Polis Kuala Belait untuk siasatan lanjut.
PDB dalam kenyataan berkenaan, mengingatkan orang awam bahawa mana-mana perkataan secara lisan atau bertulis yang berunsur penghasutan dan penghinaan terutamanya terhadap tugas-tugas yang dijalankan oleh penjawat kerajaan merupakan kesalahan yang sangat serius dan akan diambil tindakan-tindakan sewajarnya.
Jika sabit kesalahan pelaku atau tertuduh boleh didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan Penggal 24 yang membawa denda tidak melebihi $5,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun.