Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Dis – Seorang lelaki yang melakukan khianat dengan menyebabkan kebakaran pada rumah ibu angkatnya, dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi.
Hakim Pengiran Datin Hajah Rostaina binti Pengiran Haji Duraman memutuskan hukuman itu terhadap Mohd Faizal bin Haji Wasli yang mengaku bersalah atas pertuduhan yang dipinda dari Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup kepada Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga 15 tahun penjara dan maksimum enam sebatan.
Hakim Pengiran Datin Hajah Rostaina dalam menjatuhkan hukuman mengambil kira mangsa yang kehilangan rumahnya akibat kebakaran yang disebabkan oleh tertuduh dan kerugian yang dianggarkan berjumlah $20,000.
Kejadian pada 5 April 2018 itu bermula apabila tertuduh sedang melihat televisyen mengenai rancangan obor api, yang mana telah mendorongnya dengan tiba-tiba untuk menyalakan api pada pakaiannya menggunakan pemetik api.
Api itu kemudian merebak ke dinding dan tertuduh terus melarikan diri ke tingkat bawah rumah itu. Dia kemudian menyalakan api pada langsir tandas tingkat bawah, dan api ini dilihat oleh jiran sebelah rumah yang meminta tertuduh untuk memadamkannya.
Tertuduh naik berang dan mengacukan parang ke arah jiran itu. Tertuduh kemudian meninggalkan rumah itu tatkala apinya terus merebak. Jirannya menghubungi pihak bomba apabila api semakin merebak. Tertuduh dalam rayuannya kesal akan perbuatannya dan meminta maaf kerana telah menyebabkan kesedihan, ketidakselesaan dan kerugian kepada keluarga angkatnya.
Dia yang di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian itu, turut meminta maaf kepada jirannya kerana telah mengugutnya.
Pendakwaan dibuat Siti Nurjauinah binti Haji Kula manakala tertuduh diwakili Peguambela Haji Rozaiman bin DSLJ Haji Abdul Rahman.